Kota Kinabalu: Seorang petani berusia 35 tahun yang didakwa melakukan gangguan seksual fizikal terhadap anak saudaranya yang berusia 12 tahun, bakal mengetahui nasibnya pada 17 Feb tahun ini.
Tarikh keputusan bagi kes lelaki itu ditetapkan oleh Hakim Mahkamah Sesyen Elsie Primus.
Mahkamah juga menetapkan pada atau sebelum 27 Jan tahun ini untuk pihak pembelaan memfailkan hujahan balas, jika ada.
Mahkamah memberikan tarikh hujahan itu apabila pembelaan menutup kesnya selepas memanggil empat saksi.
Lelaki itu didakwa melakukan kesalahan seksual itu dengan membelai payudara gadis itu dan menggosok kemaluannya di punggung kanak-kanak berkenaan jam 11 pagi pada November 2018 hingga Mei 2019 di sebuah kampung di Kota Marudu.
Perbuatan di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 itu membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun, dan sebatan jika sabit kesalahan.
Lelaki itu pada 29 Dis, 2021 diperintah membela diri selepas mahkamah memutuskan bahawa pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie ke atasnya.
Kira-kira sembilan pendakwaan dan empat saksi pembelaan dipanggil untuk memberi keterangan dalam perbicaraan itu.
Mahkamah memerintahkan ikat jaminan lelaki terbabit dilanjutkan sementara menunggu pelupusan kesnya.
Dalam kes berasingan, seorang lelaki dipenjara lima tahun dan diperintah dikenakan sekali sebatan rotan kerana mengambil syabu berulang kali.
Louis Fredorin mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dikenakan ke atasnya.
Dia ditahan pada 4 Nov, 2022 selepas air kencingnya disahkan positif dadah di balai polis Penampang dan dia mempunyai beberapa sabitan mengambil dadah.
Selepas menyelesaikan hukuman penjaranya, mahkamah memerintahkan Louis diletakkan di bawah pengawasan polis selama dua tahun.
Sementara itu, seorang rakyat Filipina yang memasuki negeri ini secara haram, dipenjara empat bulan.
Adwin Ali yang mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu, ditahan pada 29 Dis, 2022 di kawasan Tuaran selepas gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri kepada polis.
Dia diperintah dirujuk ke Jabatan Imigresen untuk data biometriknya diambil sebelum dihantar pulang, selepas menjalani hukuman penjara.