SEMPORNA: Sekurang-kurangnya 17 rumah atas air musnah dalam kebakaran di Kg Bangau-Bangau, di sini, sekitar jam 9.15 pagi, pada Khamis.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Atas Air Semporna, Abdul Kadir Ab Halalan berkata, sepasukan tujuh pegawai dan anggota bersama sebuah bot aluminium bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 9.20 pagi, menerusi MERS 999.
Menurutnya, pihaknya turut menerima bantuan daripada BBP Semporna, BBP Kunak, polis serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
"Dianggarkan 17 rumah jenis tidak kekal terbakar 100 peratus dalam kejadian itu,"katanya.
Pihaknya menggunakan sumber air terbuka dalam operasi pemadaman tersebut sebelum berjaya mengawal api daripada terus merebak pada jam 9.58 pagi.
Abdul Kadir berkata, pasukannya sebelum itu berdepan kesukaran untuk tiba di lokasi sebenar kejadian memandangkan keadaan air laut cetek.
"Keadaan ini memaksa pasukan kita berjalan sejauh 150 meter daripada bot sebelum menjalankan operasi pemadaman," tambahnya.
Operasi ditamatkan pada jam 11.15 pagi selepas memastikan tiada lagi bahaya di lokasi.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu, manakala, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.