Kota Kinabalu: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan terus berjuang untuk memenuhi semua hak dan kepentingan yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Ini penting kerana kita perlu membina persefahaman dan membentuk penerimaan penggubal dasar dan pelaksana terhadap MA63 di peringkat persekutuan,” katanya.
Katanya, semasa mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 di Kuching Sarawak pada 20 Januari lalu, beliau (Hajiji) bertegas membawa beberapa isu untuk dibincangkan.
“Isu itu termasuk hak Negeri ke atas Pentas Benua dan Akta Laut Wilayah 2012, yang ditolak tegas Kerajaan Negeri kerana mengehadkan sempadan maritim Sabah kepada tiga batu nautika,” katanya.
Isu-isu lain termasuk semakan Geran Khas serta tuntutan 40 peratus di bawah Perkara 112. D untuk disegerakan.
Hajiji, yang juga Pengerusi GRS, berkata demikian pada Sambutan Ulang Tahun ke-20 Parti Maju Sabah (SAPP) di Dewan Hakka, di sini, Ahad.
“Jika kita bekerjasama dan mempunyai matlamat yang sama, kita boleh melakukan lebih banyak lagi,” katanya.
“Objektif utama dan perjuangan asas kita adalah untuk mengutamakan hak dan kepentingan Sabah sambil mengangkat status Sabah ke tempat teratas dalam pelbagai aspek pembangunan.
“Apabila membuat susulan bagi setiap isu dalam urutan perundingan yang sedang giat dijalankan di bawah MA63, kita berpegang teguh untuk mengutamakan tonggak Sabah,” katanya.
Tegasnya, GRS yang ditubuhkan hasil persetujuan dan kesungguhan parti-parti politik untuk menjunjung mandat rakyat akan terus komited untuk melaksanakan Agenda Sayangi Sabah seperti yang digariskan dalam Aku Janji GRS.
Beliau berkata, empat tonggak utama GRS, Sabah First, Sabah Forward, Sabah Prosper, dan Sabah United, akan terus memperkasakan pelaksanaan Agenda Sayangi Sabah.
“Kita telah mencapai beberapa kejayaan, dengan yang terbaru ialah pemindahan kuasa kawal selia gas persekutuan kepada kerajaan negeri.
“Ini termasuk kuasa untuk meluluskan projek yang menelan belanja kurang RM50 juta kepada kerajaan Sabah dan Sarawak,” katanya, sambil menambah bahawa mereka kini mendesak untuk lebih banyak hak Sabah. Hajiji yakin pendekatan baharu Malaysia Madani dapat menangani masalah dengan hubungan negeri dan persekutuan.
“Kita yakin dan percaya sebagai salah satu komponen penting negara, objektif untuk mewujudkan Sabah yang lebih maju dan berjaya perlu diangkat sebagai salah satu matlamat negara untuk menjamin kemakmuran dan kelestarian Persekutuan Malaysia.
“Dalam perbincangan seterusnya, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa beliau akan meneliti semua isu dan mencari penyelesaian segera,” katanya.
Menurut Hajiji, sejarah politik Sabah yang panjang sepatutnya menjadi inspirasi dan meyakinkan semua orang untuk mengambil tindakan dan merangka pelan tindakan baharu.
“Mari kita terlibat dalam politik pembangunan yang lebih berfaedah dan bernilai untuk mengukuhkan kebersamaan dan perpaduan rakyat. Pegangan ini mendorong kita untuk mengenal pasti titik persamaan untuk perpaduan dan bukannya jurang perbezaan dan persaingan yang menyebabkan perpecahan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa semua pemimpin SAPP dan GRS untuk terus meletakkan asas kebersamaan.
“Kita kuat apabila kita bekerjasama, dan saya rasa kita boleh. Kerjasama ini akan membantu mengukuhkan negara dan memastikan kepentingan Sabah ditegakkan dalam Persekutuan Malaysia,” katanya. Mengenai rombakan Kabinet Negeri baru-baru ini, Hajiji berkata matlamatnya adalah untuk menambah baik Kerajaan Negeri.
“Saya telah menekankan keperluan untuk membentuk pentadbiran yang inklusif di Negeri ini selaras dengan hasrat saya agar Kerajaan Negeri yang saya pimpin dapat berfungsi sebagai satu pasukan yang bersatu padu, dengan berkongsi aspirasi sama yang dibina atas kepercayaan dan saling menghormati.
“Kerajaan Negeri komited untuk mempunyai pemimpin yang berkongsi dedikasi ini dan menghormati keperluan setiap individu demi memastikan pembangunan Negeri berjalan lancar dan tanpa sebarang halangan, seperti yang dimahukan oleh rakyat. Untuk memenuhi janji pilihan raya kita kepada rakyat, kita mesti memastikan momentum pertumbuhan kita terus maju,” katanya.
Hajiji berkata, setelah melalui pelbagai pasang surut, pahit manis, dan perjuangan, SAPP yang diketuai Datuk Seri Yong Teck Lee kekal utuh dan relevan.
Beliau turut memuji usaha SAPP yang masih menyokong dan mengemukakan sebarang kebimbangan yang berfaedah kepada rakyat dan negeri.
Menurutnya, perjuangan SAPP adalah untuk kebaikan rakyat dan Negeri serta selaras dengan keadaan semasa di bawah program pembangunan Sabah Maju Jaya.
“Sebagai Ketua Menteri, saya memberi perhatian serius kepada kebimbangan yang dikemukakan oleh Yong. Kita hanya boleh berharap SAPP akan terus bekerjasama dengan kerajaan untuk memajukan Sabah. Tahniah dan terima kasih kepada Yong dan SAPP atas sokongan berterusan anda terhadap Sabah Maju Jaya.
“Perpaduan dan sokongan SAPP adalah penting untuk meneruskan perjuangan memajukan dan melindungi kepentingan rakyat dan negeri kerana ia adalah sebahagian daripada Parti GRS dan Kerajaan Negeri,” katanya.