Kota Kinabalu: Sembilan puluh lima peratus daripada 17 inisiatif Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) di bawah Kumpulan Yayasan Sabah (YS) telah berjaya dilaksanakan setakat ini, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Hajiji yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah berkata 17 inisiatif itu dilancarkan pada 2022 yang melibatkan dua teras dalam SMJ iaitu modal insan dan kelestarian hijau.
“Ini merupakan satu pencapaian yang amat kami banggakan dan tahniah kepada semua ahli Kumpulan Yayasan Sabah yang terlibat dalam pelaksanaan inisiatif tersebut. Sebagai jentera strategik Kerajaan Negeri, Kumpulan Yayasan Sabah perlu terus memacu pelbagai program selaras dengan Hala tuju SMJ. Namun usaha itu masih belum sampai ke penghujungnya. Pembangunan modal insan perlu dipertingkatkan secara berterusan terutama dalam aspek pendidikan. Saya mahu Kumpulan Yayasan Sabah terus fokus kepada pendidikan dari peringkat kanak-kanak hingga ke peringkat tinggi. Saya berharap pelancaran Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS). pada Jun tahun lalu dapat meringankan beban kewangan Kumpulan Yayasan Sabah dalam membiayai komitmen tersebut.
“Pada 2022, sebanyak RM28.5 juta telah dibelanjakan untuk menyediakan tajaan dalam bentuk biasiswa, dermasiswa dan pinjaman kepada 2,823 pelajar baharu dan sedang belajar. Saya yakin dengan dana terkumpul TPNS mampu meringankan beban kewangan Kumpulan Yayasan Sabah,” katanya ketika berucap merasmikan Malam Anugerah Kumpulan Yayasan Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, Selasa lepas.
Ketua Menteri turut berbangga kerana Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS) mencatatkan kadar kebolehpasaran siswazah kira-kira 98 peratus manakala Yayasan Universiti Kolej Sabah (UCSF) mencatatkan 75 peratus pada 2022.
“Banyak bantuan atau inisiatif yang diberikan oleh Kerajaan bagi membangunkan agenda pendidikan di negeri ini. Inisiatif ini membuka sinar baharu kepada penduduk khususnya golongan B40 bagi memastikan anak-anak mereka mendapat pendidikan sehingga ke peringkat universiti.
“Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri akan mengendalikan pemberian Biasiswa Negeri, Dermasiswa dan Bantuan Pelajar bagi memberi peluang kepada rakyat Sabah melanjutkan pelajaran dan latihan ke peringkat lebih tinggi. Bagi tujuan ini, sebanyak RM57 juta telah diperuntukkan pada tahun ini.
“Dalam pada itu, usaha Yayasan Sabah yang komited untuk melindungi khazanah di kawasan pemuliharaan di bawah seliaan kumpulan itu perlu terus dipertingkatkan. Usaha ini selaras dengan komitmen Kerajaan Negeri yang akan sentiasa memastikan pelaksanaan pembangunan sosial dan ekonomi bagi memastikan kelestarian alam sekitar dapat dikekalkan demi kesejahteraan rakyat,” kata Hajiji.
Ketua Menteri turut meminta pengurusan Kumpulan Yayasan Sabah terus berusaha agar aktiviti perniagaan anak-anak syarikat itu terus menjana keuntungan sekali gus mampu menggandakan pembayaran dividen kepada Innoprise Corporation Sdn Bhd (ICSB).
“Hampir semua sektor terbabit mencatatkan pulangan lebih baik pada 2022. Keuntungan sebelum cukai dijangka melebihi RM412 juta. Tahniah kepada anak-anak syarikat berkaitan perladangan kelapa sawit dan penjanaan elektrik yang menjadi penyumbang utama kepada prestasi memberangsangkan ini.
“Pemulihan keuntungan anak-anak syarikat dalam sektor pelancongan dan perkayuan turut memberi impak kepada prestasi baik ini. Saya dimaklumkan berdasarkan pemantauan berterusan anak-anak syarikat pada 2022, rekod pembayaran dividen kepada ICSB berjumlah RM253.18 juta telah dihasilkan,” katanya.
Beliau mahu pihak pengurusan terus memberi perhatian dalam perancangan masa depan mereka termasuk memastikan Kumpulan Yayasan Sabah ditadbir dengan cekap dari segi kos; mengubah anak syarikat yang merugikan melalui usaha sama di mana wang pelaburan akan disuntik oleh rakan kongsi dan mengewangkan aset Kumpulan Yayasan Sabah yang tidak diusahakan seperti tanah dan perhutanan.
Ini adalah sebagai tambahan kepada menambah nilai dan pulangan kepada anak-anak syarikat Kumpulan Yayasan Sabah melalui penyenaraian di bursa saham; bekerjasama dengan organisasi dari dalam dan luar negara yang mempunyai kepentingan bersama; pemantauan berterusan anak-anak syarikat bagi memastikan prestasi yang baik supaya pembayaran dividen maksimum dapat dibuat; pelaksanaan Projek Pembangunan Bandar Raya Pavillion Habour, Jesselton Waterfront Sdn Bhd dan Lok Kawi Resort; memastikan kelayakan tunai daripada projek pembangunan bersama dapat diterima secepat mungkin; dan melaksanakan beberapa projek pembangunan hidroelektrik baharu di kawasan yang dikenal pasti.
Turut hadir Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Abidin Madingkir, Pengarah Yayasan Sabah Dato’ Sri Haji Ghulamhaidar @ Yusof Khan Bahadar dan Pengerusi Eksekutif ICSB Datuk Jasnih Daya.