SANDAKAN: Jalan baharu yang akan dibina dari Kg Semawang ke Kuala Gum-Gum, bakal merancakkan pembangunan di Libaran dan meningkatkan ekonomi rakyat.
Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Nasir berkata projek pembinaan jalan baharu dua lorong sepanjang 19.9 kilometer membabitkan peruntukan lebih RM213 juta itu akan dilaksanakan tahun ini.
“Dalam projek sama, turut dibina adalah sebuah jambatan baharu sepanjang 577.4 meter dan bakal menjadi jambatan terpanjang di negeri ini sekali gus akan menjadi mercu tanda Parlimen Libaran,” katanya semasa membuat lawatan tapak projek membina dan menyiapkan Jalan Semawang ke Tanjung Kuala Gum-Gum di Kg Semawang, Khamis.
Hadir sama, Jurutera Kerja/Bahagian Projek Jabatan Kerja Raya Sandakan Riny Susilawati Hamdan, Ketua Pegawai Perhubungan Parlimen Libaran Zaini Tiksun, pemimpin masyarakat dan wakil kontraktor.
Beliau berkata pembinaan jalan itu di persisiran pantai akan dapat membantu pengembangan ekonomi masyarakat setempat bagi mengeluarkan hasil agro makanan ke pusat bandar.
“Laluan itu juga akan menjadi jalan rentas pelancong ke Labuk Bay Proboscis Monkey Sanctuary, Batu 19 dan akan meningkatkan bilangan pelancong ke situ.
“Selain daripada itu, jambatan baharu itu juga akan menjadi tumpuan dan lokasi pemancing,” jelasnya lagi.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah (Dilantik) berkata projek terbabit dijangka siap pada hujung tahun 2025.
Sementara itu, Suhaimi juga turut meminta pihak kontraktor pembinaan jalan baharu itu agar membaiki jalan asal ke Kampung Semawang yang kini mengalami kerosakan dan menyukarkan kenderaan kecil lalu, sementara menunggu pembinaan jalan itu siap sepenuhnya.
“Jalan yang sedia ada itu merupakan laluan utama penduduk kampung dan guru-guru sekolah,” katanya.