Kota Kinabalu: Sukan Kerajaan Tempatan Sabah (SKTS) ke-13 membabitkan lapan zon yang terdiri daripada 25 pihak berkuasa tempatan (PBT), dua majlis perbandaran (Sandakan dan Tawau) dan Lembaga Bandaran Kudat akan diadakan di Lahad Datu dari 13-18 Februari ini.
Tujuan utama temasya dwitahunan anjuran bersama Majlis Daerah Lahad Datu, Semporna dan Kunak dari Zon 8 tahun ini adalah untuk mengeratkan hubungan antara semua agensi.
Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Isnin Aliasnih dijadual melancarkan majlis perasmian manakala acara penutup akan disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam.
Untuk rekod, kejohanan lalu yang diadakan di Ranau pada 2019 dimenangi oleh Zon 5 yang terdiri daripada Majlis Daerah Tuaran, Kota Belud, Kota Marudu, Lembaga Bandaran Kudat dan Pitas.