Kota Kinabalu: Seorang lelaki berusia 34 tahun yang didakwa merogol anak perempuannya akan dibicarakan pada 28 – 29 Ogos tahun ini.
Hakim Sesyen Noor Hafizah Mohd Salim menetapkan tarikh itu bagi lelaki tersebut, yang kesnya dkemukakan untuk sebutan bagi penyerahan dokumen berkaitan kes itu.
Mahkamah juga menetapkan 24 Julai tahun ini untuk pengurusan kes pra-perbicaraan.
Lelaki itu didakwa merogol anaknya itu antara jam 8 dan 11 malam 11 Ogos 2022 di sebuah rumah di Penampang.
Kesalahan mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan itu membawa hukuman penjara antara lima dan 30 tahun, dan sekurang-kurangnya 10 sebatan, jika sabit kesalahan.
Sementara menunggu tarikh tersebut, lelaki itu ditahan reman selanjutnya.
Timbalan Pendakwa Raya Najihah Farhan Cheh Awang hadir untuk pendakwaan manakala lelaki itu tidak diwakili.
Di mahkamah sama, seorang lelaki berusia 56 tahun mengaku tidak bersalah kepada dua pertuduhan merogol anak perempuannya dan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak tirinya.
Dia membuat pengakuan itu selepas pertuduhan pindaan dibacakan kepadanya.
Bagi pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa merogol anak perempuannya berusia 14 tahun dan lapan bulan pada 28 Nov 2022 di sebuah rumah di Sepanggar, dekat sini.
Kesalahan mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan itu membawa hukuman penjara antara lapan dan 30 tahun, dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa melakukan amang seksual dengan meraba payudara anak tirinya berusia 14 tahun dan enam bulan pada pukul 8 malam Ogos 2022 di tempat yang sama.
Kesalahan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 16 Mac tahun ini untuk pengurusan kes pra-perbicaraan.