Kota Kinabalu: Wanita perlu disedarkan tentang konsep Malaysia Madani dan peranan mereka dalam membangunkan negara melalui konsep ini, kata isteri Ketua Menteri, Datuk Juliah Salag.
Untuk tujuan ini, beliau mengalu-alukan sebarang acara seperti seminar “Peranan Wanita dalam Membina Malaysia Madani” anjuran Alumni Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Sabah bulan depan.
“Saya yakin ia (seminar) dapat membantu memberikan pemahaman lebih baik kepada masyarakat khususnya wanita tentang slogan Malaysia Madani,” katanya selepas menerima kunjungan hormat ahli jawatankuasa tertinggi Alumni UIAM Cawangan Sabah kediaman rasmi Ketua Menteri di Sri Gaya, di sini, Isnin.
Program yang diadakan sempena sambutan Hari Wanita Antarabangsa itu akan dirasmikan oleh Juliah.
Delegasi Alumni UIAM diketuai oleh naib presidennya Fazilah Musa dan ahli jawatankuasa yang lain.
Sementara itu, Juliah turut menerima kunjungan hormat daripada delegasi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Pekan Tuaran yang diketuai oleh guru besar Mohamad Juin @ Mohd Nauli @ Moli.
SK Pekan Tuaran dan PIBGnya menjemput Juliah untuk merasmikan Majlis Apresiasi Murid yang akan diadakan pada 16 Feb ini, di Dewan Sri Sulaman, Tuaran.