PENAMPANG: Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA) menyokong penuh kenyataan Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan yang baru-baru ini bersetuju untuk memperluaskan syarat penggunaan tanah Hak Anak Negeri (NT) untuk merangkumi aktiviti lain seperti pembangunan industri dan perumahan, dan tidak hanya terhad kepada pertanian.
Setiausaha Agung KDCA Datuk Suman Yasambun berkata kenyataan Dr Jeffrey mengenai perkara itu adalah tepat pada masanya dan amat dialu-alukan.
“Jika ini direalisasikan, ia akan memberi manfaat terutamanya kepada semua Anak Negeri di Sabah. KDCA menyokong penuh kenyataan Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan itu dan berharap ia dapat direalisasikan.
“KDCA percaya Kerajaan boleh mencari kaedah yang sesuai untuk memastikan status NT tidak terjejas akibat perluasan kegunaan tanah NT seperti untuk aktiviti komersial,” katanya dalam satu kenyataan, Rabu.
Suman berkata tanah merupakan aset tidak ternilai bagi Anak Negeri kerana ia sinonim dengan identiti mereka sebagai orang asal Sabah.
“Tanah berstatus NT juga merupakan warisan nenek moyang orang asal di Sabah yang diturunkan dari generasi ke generasi.
“Baru-baru ini banyak tanah berstatus NT ditukar kepada status Pajakan Negeri (CL) terutama di kawasan bandar. Ini merupakan perkembangan yang amat membimbangkan kerana ia akan mengakibatkan pengurangan tanah berstatus NT dan mengancam pemilikan tanah Anak Negeri.
“Justeru, KDCA sedia bekerjasama dengan Kerajaan dan memberikan bantuan yang diperlukan ke arah merealisasikan hasrat murni ini (memperluaskan syarat guna tanah bagi tanah berstatus NT),” katanya.
Dr Jeffrey dilaporkan dalam media pada 11 Februari sebagai bersetuju supaya syarat penggunaan tanah untuk tanah berstatus NT diperluaskan merangkumi aktiviti lain seperti pembangunan industri dan perumahan, dan bukan hanya terhad kepada pertanian.