JABATAN Air bercadang untuk menggantikan secara berfasa pepasangan di rumah pamnya di Taman Kingfisher kerana peranti sedia ada mudah mengalami kerosakan akibat haus dan lusuh.
Jurucakap agensi itu berkata pepasangan ini menempatkan tiga pam 15 kilowatt (KW): dua untuk kegunaan harian, manakala satu lagi sebagai pengganti.
“Pam, serta pengisi dan motornya, dipasang sejak beberapa tahun lalu dan banyak komponen individu sudah usang,” katanya pada 15 Februari.
“Kami berhasrat untuk menaik tarafnya kepada model lebih baharu dengan sedutan yang lebih kuat mungkin 25 atau 30 KW.”
Dia berkata satu daripada pam harian sudah rosak dua kali sejak awal tahun ini, yang menyebabkan tekanan air rendah di beberapa premis di kawasan sekitar dan paip kering di tempat lain.
TINDAKAN diambil untuk melaraskan semula pemasa untuk pam apabila ia tidak berfungsi pada Januari.
“Kakitangan kami menangani kerosakan yang membabitkan pemasa untuk pam pada hujung Januari.”
Awal minggu ini, katanya, peranti itu telah dibaiki selepas tidak berfungsi disebabkan masalah mekanikal.
Jurucakap itu berkata jabatan itu sedang mengatur untuk menggantikan pam yang tidak berfungsi.
“Kami sedang menyiapkan kertas kerja diperlukan untuk mendapatkan pam baharu.
“Kami berharap untuk menggantikan pam sedia ada, paling awal, menjelang suku pertama tahun ini, dengan selebihnya akan menyusul.”
Sementara itu, katanya, agensi berkenaan akan meningkatkan usaha untuk memeriksa keadaan peralatan di rumah pam di Taman Kingfisher.
Katanya, perhatian khusus akan diberikan untuk mengaktifkan semula pam secara manual, jika terdapat keperluan.
“Kakitangan yang ditugaskan untuk melakukannya, diminta supaya lebih peka terhadap sebarang gangguan elektrik di kawasan itu dan pergi ke rumah pam kami, secepat mungkin, selepas bekalan elektrik pulih.
“Dalam beberapa keadaan, dia mungkin dikehendaki menghidupkan pam selepas bekalan elektrik terputus di kejiranan.”
Jelasnya, peranti ini beroperasi secara automatik.
“Sensor sepatutnya mematikan pam, apabila paras air dalam tangki rendah, dan menghidupkannya, apabila paras seterusnya mencapai ketinggian yang diperlukan.”
Jurucakap itu mengulas aduan mengenai pembaziran dari tangki ternaik di atas bukit yang menghadap ke Lorong 11 di Ujana Kingfisher Fasa 4.
Pemilik rumah, yang mengemukakan isu itu kepada perhatian Hotline, beranggapan “injap automatik” atau “pengapung” yang rosak mungkin menyebabkan masalah ini.
AGENSI itu berhasrat untuk menaik taraf kesemua 3 pam yang ditempatkan di rumah pam Taman Kingfisher.
Jurucakap itu mengucapkan terima kasih kepada pengguna atas maklum balasnya tetapi mengesahkan bahawa tidak ada kerosakan pada kedua-dua pepasangan ini.
Katanya, pam dan panel kawalan di dalam rumah pam jabatan itu diperiksa secara berkala bagi memastikan ia berfungsi seperti yang sepatutnya.
“Peranti ini diselenggara secara menyeluruh mengikut jadual tetap.
“Penyelenggaraan ini melibatkan mengggris mekanisme dan menggantikan mana-mana komponen pam dan panel kawalan yang rosak.”
TEDDY dari Inanam terkejut melihat air melimpah dari tangki di belakang satu bahagian di Ujana Kingfisher.
“Memandangkan ia tinggi, ia kelihatan seperti air terjun mini,” katanya.
“Ia sangat ketara sehingga ramai jiran saya mula menyiarkan foto dan video dalam talian mengenai bekalan air yang mengalir ke bawah.”
Beliau berkata pembaziran itu sukar diterimanya kerana tekanan air yang lemah dan paip kering yang dialami penduduk di kawasan kejiranan sejak sekian lama.
“Setiap kali tangki melimpah, kakitangan jabatan akan mematikan bekalan ke kawasan kejiranan dan bekalan air paip kam sama ada akan berkurangan atau tiada setitik pun akan tersedia.
“Mereka hanya akan menghidupkan semula bekalan selepas saya dan jiran saya bising-bising.
“Tetapi kemudian keadaan ini berulang lagi dan akan melimpah sekali lagi.”
Teddy mengecam situasi itu, yang sudah berlaku beberapa kali sejak Januari, sebagai pembaziran sumber awam yang berharga.
“Saya tertanya-tanya bagaimana jabatan boleh menutup mata mengenai apa yang berlaku di sini.
“Bukankah agensi itu mempunyai kakitangan yang sepatutnya membuat pemeriksaan penyelenggaraan secara berkala ke atas tangki ini?”
Dia berkata ini bukan kali pertama tangki itu melimpah.
“Saya berpindah ke Ujana Kingfisher lebih 17 tahun lalu dan masalah ini berlaku beberapa kali dari semasa ke semasa.”