PAPAR: Seorang peguam berusia 53 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu atas tuduhan menggunakan dokumen palsu sebagai tulen dalam cubaan memindahkan hak milik tanah.
Mohammad Nor Yusof didakwa menggunakan empat dokumen palsu Perintah Pembahagian Pusaka Mahkamah Rendah Syariah Kota Kinabalu pada 15 Feb 2019, kira-kira jam 10 pagi di Jabatan Tanah dan Ukur Papar.
Pertuduhan di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 465 kanun sama itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Majistret Abdurrahman Abrar Jarni menetapkan ikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 16 Mac tahun ini untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Yusdi Basri.