Tuaran: Seorang wanita warga emas dilaporkan hilang ketika mencari lokan bersama keluarganya di Kampung Betutai di sini, Ahad lalu.
Difahamkan, mangsa dikenali Jinteh Sudin
(gambar), 76, kali terakhir dilihat di kawasan hutan paya bakau sebelum disedari hilang kira-kira jam 7 malam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Tuaran, Abdul Qawie Abdul Gapar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu daripada orang awam pada jam 7.23 malam.
Katanya, lapan anggota bomba bergegas ke lokasi kejadian berserta sebuah jentera dan sebuah kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).
“Maklumat awal diperolehi menyatakan seorang wanita warga emas hilang ketika mencari lokan bersama ahli keluarga.
“Sehingga kini, pasukan bomba masih giat menjalankan operasi SAR bagi mengesan mangsa yang dilaporkan hilang di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi pada Ahad.
Menurutnya, operasi turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan penduduk kampung.
“Sebarang maklumat akan dikemas kini dari semasa ke semasa,” ujarnya.