Kota Kinabalu: Seorang lelaki berusia 32 tahun yang didakwa atas empat pertuduhan memiliki tiga keping wang kertas palsu RM100, menggunakan wang kertas palsu untuk membuat pembayaran, dan mempunyai peralatan untuk memproses wang kertas palsu, akan disebut kesnya pada 17 Mac tahun ini.
Hakim Mahkamah Sesyen Elsie Primus menetapkan tarikh itu bagi Ridhwan Aiman Yahya apabila pihak pembelaan memaklumkan mahkamah bahawa mereka akan mengemukakan rundingan pengakuan bersalah bagi kes itu.
Semasa prosiding, semua dokumen telah diserahkan kepada Ridhwan.
Bagi pertuduhan pertama, Ridhwan didakwa memiliki tiga wang kertas palsu RM100 dengan nombor siri serupa – DC0433026 pada jam 9.15 pagi, 13 Okt 2021 di sebuah rumah di Kuala Manggatal Fasa 1, Sepanggar, dekat sini.
Kesalahan mengikut Seksyen 489C Kanun Keseksaan itu membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun, jika sabit kesalahan. Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa mempunyai peralatan untuk memproses wang palsu pada jam 9.15 pagi pada 13 Okt 2021 di tempat sama.
Bagi kesalahan ini, Ridhwan didakwa mengikut Seksyen 489D Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan ketiga hingga keempat, Ridhwan didakwa menggunakan wang kertas palsu RM100 untuk membuat pembayaran petrol, makanan dan barangan pada 13 Sept, 10 Okt dan 12 Okt 2021 di tempat berbeza di stesen minyak Shell di Kg Air, Restoran Shahir di Telipok dan Kedai Runcit Baz & 6Eleven Sdn Bhd di Taman Putera Jaya, Telipok.
Kesalahan di bawah Seksyen 489B Kanun Keseksaan itu membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.