LAHAD DATU: Tiga bot ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) atas pelbagai kesalahan.
Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Nik Mohd Rizam Nik Mohd Fauzi berkata, ketiga-tiga bot itu ditahan di kawasan 0.35 hingga 0.9 batu nautika di Timur Madai, Kunak pada Isnin.
Beliau berkata, susulan rondaan di bawah Operasi Pluto Timur, bot peronda APMM menahan ketiga-tiga bot berkenaan antara jam 2.45 petang hingga 3.10 petang.
“Setelah diperiksa, ketiga-tiga bot itu didapati melakukan kesalahan di bawah Enakmen Pelabuhan dan Dermaga 2002 (Kesalahan-kesalahan Bot Kecil Sabah 2008) dan Akta Perikanan 1985
“Antara kesalahan itu ialah mengubah suai bot tanpa kebenaran, menangkap ikan di kawasan kurang daripada 0.9 batu nautika dan gagal memaklumkan pertukaran juragan,” katanya.
Menurut Nik Mohd Rizam, pihaknya turut menahan tiga lelaki tempatan bersama empat warga asing dari Filipina berusia antara 27 hingga 71 tahun.
Kesemua yang ditahan, termasuk bot yang dirampas diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim untuk siasatan lanjut.
Beliau berkata Zon Maritim Lahad Datu akan meningkatkan lagi rondaan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi membendung pelanggaran undang-undang dan kegiatan jenayah di perairan Lahad Datu.
Masyarakat digesa menyalurkan sebarang maklumat mengenai pelanggaran di laut kepada Zon Maritim Lahad Datu dengan menghubungi 089-885727 atau MERS999.