Kota Kinabalu: Ahli Parlimen Putatan Datuk Shahelmey Yahya berharap Kerajaan Persekutuan dapat menyediakan peruntukan kewangan yang adil dan berformula kepada Sabah.
Ini, katanya, diperlukan bagi mengatasi masalah pendidikan, kesihatan dan kemudahan infrastruktur di Sabah.
“Mengikut rekod Jabatan Pendidikan Negeri, pada 2022, terdapat 1,071 sekolah rendah dan 221 sekolah menengah di Sabah,” katanya dalam ucapan perbahasan titah diraja, di Dewan Rakyat, di Ibu Negara, Selasa.
“Daripada jumlah sekolah itu, terdapat sekurang-kurangnya 54.5 peratus daripadanya dianggap dalam keadaan daif dan usang serta memerlukan kerja pembaikan dan penyelenggaraan segera.
“SK Tansau merupakan salah sebuah sekolah dalam kawasan parlimen Putatan. Terdapat blok bangunan konkrit dua tingkat di sekolah ini yang menempatkan kelas pengajaran dan pembelajaran pelajar.
“Blok bangunan ini telah diisytiharkan tidak selamat oleh Jabatan Kerja Raya sebanyak dua kali pada 2015 dan 2022.”
Laporan ini, katanya, telah dihantar kepada Kementerian Pendidikan serta Jabatan Pendidikan Negeri.
“Namun, sehingga kini tiada tindakan atau kerja pembaikan dilakukan. Ini menyebabkan pelajar terpaksa menggunakan blok bangunan kayu usang yang lain,” katanya.
Beliau menambah, sehingga tahun lepas, terdapat 23 sekolah di Sabah yang terpaksa beroperasi secara “menumpang” di sekolah lain.
Mengenai kesihatan, katanya, perkhidmatan kesihatan di negeri ini masih di tahap lama berdasarkan fasiliti dan pakar perubatan.
“Terdapat 112 klinik kesihatan yang sedang beroperasi di Sabah, tetapi 95 daripadanya atau 84.8 peratus adalah usang dan dalam keadaan daif.
“Lebih menyedihkan, masih banyak klinik yang tidak mempunyai kemudahan Internet yang menyukarkan mereka untuk berfungsi dengan cekap.”
Beliau juga berkata sebanyak 70 peratus daripada peralatan di hospital Sabah berusia lebih 10 tahun atau “melangkaui pembaikan ekonomi”.
“Jangka hayat mesin perubatan tidak boleh melebihi 10 tahun selaras dengan kemajuan teknologi perubatan.
“Malangnya, peralatan perubatan uzur ini masih digunakan di Sabah.
“Masalah ini ditambah lagi dengan kekurangan sumber manusia untuk perkhidmatan kesihatan di Sabah.
“Terdapat kekosongan kira-kira 8.82 peratus iaitu 2,494 daripada 28,274 tenaga kerja yang sepatutnya diisi.