Kota Kinabalu: Seorang pemimpin Parti Solidariti Tanah Airku (StarSabah) menggesa semua hospital agar tidak berat sebelah dan bersikap wajar dalam memberikan rawatan kepada pesakit.
Ketua Bahagian StarSabah Tg Aru, Hiew Choon Yu merujuk kepada isu sebuah hospital yang enggan merawat sakit senggugut seorang pesakit kerana pakaiannya yang didakwa “tidak sesuai”, antara kejadian lain.
Beliau mempersoalkan sama ada etika pakaian lebih penting daripada menyelamatkan nyawa.
“Malah Menteri Kesihatan telah menyatakan bahawa setiap pesakit perlu mendapat rawatan tanpa mengira kaum, agama mahupun pakaian,” katanya dalam satu kenyataan, Rabu.
Tambahnya, Kementerian Kesihatan Malaysia telah menegaskan bahawa hospital, bilik kecemasan atau kemudahan perubatan tidak mempunyai sebarang keperluan etika pakaian.
“Sekarang pemimpin perubatan tertinggi negara kita telah membuat kenyataan sedemikian, tiada pesakit harus menghadapi dilema seperti itu.
“Standard bilik kecemasan haruslah cepat dan tepat. Untuk penyakit mendadak, tempoh masa paling penting ialah enam minit pertama tempoh keemasan.
“Jika anda menghadapi kesukaran dan tidak boleh mendapatkan rawatan perubatan, dan anda dipaksa pulang untuk mendapatkan pakaian yang ‘bersesuaian’, siapakah yang akan bertanggungjawab terhadap kehilangan nyawa kerana kehilangan tempoh masa pertolongan cemas?,” tanya Hiew.
Sehubungan itu, beliau berharap Kementerian Kesihatan dapat menyiasat perkara itu dan melihat sama ada kakitangan perubatan individu telah menggunapakai garis panduan mereka sendiri kepada pesakit.
“Saya bukan seorang doktor tetapi saya tahu setiap doktor dan kakitangan perubatan telah berjanji untuk mematuhi Kod Etika Perubatan semasa mengangkat Sumpah (Hippokrates),” katanya.
Hiew berkata Sumpah Hippokrates, yang dipelajari oleh doktor dan paramedik sebelum menceburi amalan perubatan, termasuk kewajipan untuk membantu pesakit dengan sebaik mungkin.
Awal Februari lalu, dilaporkan bahawa seorang pembantu perubatan di Hospital Kampar, Perak menafikan rawatan kepada seorang wanita berusia 21 tahun kerana berseluar pendek, yang didakwa tidak sesuai, dan diminta menukar kepada seluar panjang sebelum memasuki bilik kecemasan.
Jabatan Kesihatan Perak sejak itu mengeluarkan kenyataan mengatakan pihak hospital telah mengambil langkah sewajarnya dalam membetulkan isu tersebut.