TAWAU: Sekitar 1, 300 pembeli unit rumah di Taman PR1MA Ranggu yang sebelum ini berdepan isu Sijil Menduduki (OC) dijangka menerima kunci rumah sebelum Hari Raya Aidilfitri tahun ini, kata Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.
Jangkaan itu dibuat susulan penyerahan Sijil Layak Menduduki (OC) oleh pihak Majlis Perbandaran Tawau (MPT) kepada wakil pemaju – syarikat Prinsip Hasil Sdn Bhd (PHSB) – di Bilik Gerakan MPT, pada Isnin.
OC itu disampaikan presiden MPT, Joseph Pang kepada wakil pemaju, Rifkiy Maring yang bertindak sebagai konsultan pengurusan (Construction Management Consultant - CMC), disaksikan Nizam dan Adun Balung, Datuk Hamild Awang serta pemilik PHSB, Rahim Larry Koh.
Menurut Nizam, majlis penyerahan OC itu dilihat dapat memberi kelegaan kepada para pembeli rumah yang resah kerana telah mula menjelaskan bayaran ansuran rumah menerusi potongan gaji, namun, masih belum dapat mendiami unit masing-masing.
Pada masa sama, beliau berharap pihak pemaju akan terus bertanggungjawab untuk memastikan segala kerosakan kecil termasuk jalan raya, lampu dan isu-isu teknikal dapat diperbaiki.
“Perkara ini amat penting bagi memastikan tidak timbul isu atau aduan daripada para pembeli sehingga menyusahkan semua pihak, ”katanya kepada media selepas majlis penyerahan OC Taman PR1MA Ranggu yang mula dibina pada 2019.
Mengulas lanjut, Nizam yang juga Adun Apas berkata, pihak jawatankuasa bertindak pembeli perumahan itu ada bertemu beliau semasa pembeli terbabit mengadakan demonstrasi aman pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu yang meminta pemimpin Tawau membantu menyelesaikan isu.
“Pada November lepas, saya serta YB Hamild memberi komitmen untuk membantu mereka supaya dapat memasuki rumah sebelum Hari Raya nanti dan hari ini terbukti (isu selesai) apabila OC yang sangat diharapkan pembeli, menjadi kenyataan dengan penyerahan dokumen itu,” katanya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada MPT selaku pihak berkuasa tempatan yang bertanggungjawab memastikan keadaan perumahan dalam keadaan baik sebelum mengeluarkan OC.
Katanya, OC tersebut hanya dikeluarkan MPT selepas pihak pemaju memenuhi segala syarat dan peraturan ditetapkan untuk melindungi para pembeli rumah serta mereka berpuas hati dengan keadaan rumah yang dibina.
Sementara itu, Rahim berkata, pihaknya akan memastikan semua perkara dan isu-isu berbangkit dalam keadaan baik sebelum proses penyerahan kunci rumah kepada para pembeli dilakukan dalam dua atau tiga minggu lagi.
Menurutnya, projek tersebut merupakan inisiatif bekas Adun Apas, Allahyarham Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan serta kepimpinan terdahulu yang mahukan sebuah perumahan mampu milik dan murah tetapi berkualiti dapat diwujudkan untuk penduduk tempatan daerah ini.
Pihaknya gembira kerana isu berkaitan Taman PR1MA Ranggu akhirnya dapat diselesaikan atas komitmen semua pihak, khususnya Nizam, Hamild dan Joseph serta pihak-pihak berkaitan lain.
Beliau berharap, para pembeli unit rumah tersebut akan gembira tinggal di perumahan itu dan menikmati kualiti hidup lebih baik.
Sebelum ini, pembeli unit rumah terbabit yang majoriti kakitangan kerajaan dan pesara kerajaan, mengadakan dua siri demonstrasi aman kerana tertekan kerana belum dapat mendiami unit-unit yang mereka dibeli kerana MPT belum mengeluarkan OC.
Mereka juga tertekan kerana ada pembeli telah mula dipotong gaji untuk membayar balik pinjaman bank sejak 2017 dan membayar sewa rumah yang diduduki menyebabkan kos perbelanjaan keluarga meningkat.