WARGA Sabah di Semenanjung Malaysia kini boleh berasa lebih dekat kepada tempat asal dengan pembukaan Pejabat Perhubungan Negeri Sabah Kuala Lumpur (PPNS KL) di 3 Towers di Jalan Ampang, Kuala Lumpur, pada 23 Feb.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata PPNS KL akan bertindak seperti kedutaan untuk warga Sabah yang bekerja dan menetap di semenanjung.
“PPNS KL, sebuah agensi Kerajaan Negeri Sabah di bawah Jabatan Ketua Menteri, juga bertindak sebagai perantara Kerajaan Negeri Sabah untuk urusan dengan Kerajaan Persekutuan yang melibatkan urusan pentadbiran,” katanya pada pembukaan rasmi pejabat tersebut.
Hajiji berkata landskap pentadbiran Kerajaan Negeri telah berubah, justeru perlunya interaksi antara kerajaan seperti isu perhijrahan, pelancongan, pelaburan dan hal ehwal diplomatik, yang memerlukan Kerajaan Negeri menubuhkan Pejabat itu.
Melalui PPNS KL, Kerajaan Negeri dapat melaksanakan dasar pentadbiran dengan lebih teratur dan sistematik, katanya.
“Saya mahu PPNS KL memastikan pendekatan mesra-pelabur kami berjaya. Sehubungan itu, saya mahu Pejabat ini memperkukuh peranannya sebagai jambatan penghubung antara Kerajaan Sabah dan Persekutuan di samping dengan kedutaan asing dan syarikat swasta di semenanjung,” katanya.
PPNS KL juga akan memaksimumkan kecekapan pengurusan tadbir urus, faktor penting dalam menarik lebih ramai pelabur datang ke Sabah, katanya.
“Saya mahu Pejabat itu juga berfungsi sebagai pusat maklumat berkaitan pelancongan, budaya dan pelaburan,” katanya.
Hajiji berkata imej Kerajaan Negeri Sabah juga akan menjalani penjenamaan semula dengan penubuhan Pejabat Rasmi Ketua Menteri di Aras 23A, Penthouse 3 Towers, yang dijangka siap menjelang akhir tahun ini.
Semasa pandemik CovId-19, Hajiji berkata Kerajaan Negeri melalui PPNS KL telah merancang dan melaksanakan pelbagai inisiatif untuk membantu warga Sabah di semenanjung.
PPNS telah menerima hampir 200,000 permohonan dari Sabah untuk Bantuan Prihatin Covid-19 2.0.
“Melalui PPNS, kami membelanjakan RM357,000 untuk pengagihan bakul makanan kepada warga Sabah yang tinggal di Semenanjung Malaysia dan RM239,362.46 lagi untuk membantu keluarga menghantar jenazah ahli keluarga mereka kembali ke Sabah pada 2021. Semua ini dilakukan untuk membantu rakyat Sabah yang memerlukan,” katanya.
Hajiji berkata tonggak kedua Hala Tuju Sabah Maju Jaya – modal insan dan kesejahteraan rakyat, akan menyaksikan pembinaan Rumah Transit untuk warga Sabah di Semenanjung Malaysia, dijangka siap pada Disember tahun ini.
Inisiatif baharu ini akan membantu mengurangkan beban dari segi kos bagi warga Sabah yang menguruskan pendidikan atau keperluan perubatan anak-anak mereka, katanya.
“Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab terhadap amanah yang diberikan, kami akan terus berjuang untuk rakyat Sabah tanpa mengira agama dan bangsa,” katanya.
PPNS KL mempunyai kekuatan kakitangan seramai 34 orang yang diketuai oleh Pengarah Sabariah Saffree. Hadir sama pada majlis tersebut ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Armizan Mohd Ali, Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya Datuk Ir Shahelmey Yahya, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Datuk Seri Kadzim Yahya, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Mohd Ariffin Mohd Arif, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Sr Safar Untong dan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam Sabah Datuk Datu Rosmadi Sulai.