Fri, 12 Jun 2026
Headlines:
Cadangan latihan altitud tinggi di Gunung Kinabalu dua kali setahun
Published on: Sunday, March 05, 2023
Published on: Sun, Mar 05, 2023
Text Size:
Text:
Cadangan latihan altitud tinggi di Gunung Kinabalu dua kali setahun
LIEW (keempat, kiri) bersama Ravichandran (di sebelah kirinya) dan bakal pendaki Gunung Everest, termasuk dua warga Sabah, Christian Dolph dan Fareen Amiera Mohd Zulkhairi.
Kundasang: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar akan mempertimbangkan permintaan penganjur Program Latihan Altitud Tinggi Malaysia-Asean Kinabalu Climb ke-12 2023, Global Expedition Club (GEC), yang baru sahaja tamat di Taman Kinabalu di sini.

Menterinya Datuk Christina Liew berkata permintaan itu disampaikan kepadanya oleh Ravichandran (pemegang dua rekod sebagai rakyat Malaysia pertama menawan Gunung Everest, dan satu-satunya rakyat Malaysia yang mendaki Gunung K2 di Pakistan, gunung kedua tertinggi di dunia, selepas beliau merasmikan Seminar Latihan Altitud Tinggi, baru-baru ini.

Advertisement
“GEC Malaysia dan Global Expedition Training ingin supaya Kerajaan Negeri (melalui Kementerian) menerima pakai acara Malaysia-Asean Kinabalu Climb tahunan itu.

“Pada masa ini, ekspedisi itu dianjurkan setahun sekali, dan penganjur mahu ia diadakan dua kali setahun mulai tahun depan,” katanya dalam satu kenyataan, Sabtu.

SPONSORED CONTENT
Cosmobeauté Malaysia and beautyexpo will expand into East Malaysia with the launch of the Cosmobeauté Malaysia Borneo Festival 2026 at the Sabah International Convention Centre (SICC) from May 25 to 26.
Menurut Liew, Ravichandran, yang merupakan Ketua Jurulatih Global Expedition Training, berharap Kerajaan akan menyediakan untuk Global Expedition Training, tempat dan kemudahan sesuai untuk program latihan tersebut.

“Satu lagi hasrat beliau adalah untuk menjemput wakil asing dari setiap negara Asean untuk menyertai acara Malaysia-Asean Kinabalu Climb mulai 2024, supaya mereka akan pulang ke negara masing-masing dan menyebarkan berita bahawa Gunung Kinabalu merupakan tempat terbaik untuk latihan altitud tinggi sebagai persediaan ke destinasi pendakian seterusnya, iaitu menakluk gunung yang lebih tinggi,” katanya.

Advertisement
Ditanya apa yang beliau maksudkan dengan “kemudahan”, wira Malaysia berusia 57 tahun itu berkata dia merujuk kepada permit mendaki dengan harapan boleh mendapatkan lebih banyak mulai tahun depan.

“Kali ini, kami memperoleh sebanyak 40 permit untuk ekspedisi ini. Sebab itu kami boleh mendapat 68 peserta dari Malaysia, Singapura, Thailand, Filipina, Korea dan Iran. Dengan lebih banyak permit mendaki, kami akan dapat memanfaatkan potensi penyertaan dari negara Asean lain. Usia semakin mengejar saya. Saya mahu menyampaikan ilmu saya kepada orang lain. Itu tugas saya,” katanya.

Advertisement
Berkongsi pengetahuannya tentang penyakit gunung akut (AMS) dengan Menteri, Ravi, yang mendaki Gunung Everest tiga kali, berkata pengetahuan asas AMS sangat diperlukan untuk mengurangkan trauma, kecederaan jangka panjang dan juga risiko kematian.

“Untuk meminimumkan AMS, kita tidak harus menggunakan bahan seperti bahan penipis darah. Sebaliknya, model terbaik ialah cara semula jadi untuk menyesuaikan diri dengan altitud lebih tinggi. Salah satu caranya ialah dengan perlahan-lahan, bergerak mengikut rentak anda. Jika anda berumur 60 tahun, anda mempunyai rentak anda sendiri; jika anda berumur 80 tahun, anda mempunyai rentak berbeza.

“Kita hanya bersaing dengan alam semula jadi, kita bukan bersaing sesama sendiri. Itu perkara pertama yang kita perlu pelajari tentang mendaki gunung, iaitu satu gaya hidup luar,” jelasnya sambil menambah, mereka yang lebih berusia lebih berjaya mendaki gunung berbanding rakan lain yang lebih muda.

Sementara itu, Ravi memberi penghargaan kepada Taman-Taman Sabah atas kerjasama jangka panjang dalam penganjuran Malaysia-Asean Kinabalu Climb.

“Program ini adalah kali ke-12 kami. Taman-Taman Sabah telah tampil untuk bercakap mengenai program ini, bermakna mereka bersedia untuk membawanya ke peringkat seterusnya. “Taman-Taman Sabah akan sentiasa menjadi rakan kongsi kami,” katanya, menambah pihak berkuasa Taman sedang merancang pusat latihan yang dicadangkan di Gurkha Hut.
* Follow us on our official WhatsApp channel and Telegram for breaking news alerts and key updates!

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
Advertisement
Share this story
Advertisement
Advertisement
Follow Us  
           
Daily Express News  
© Copyright 2026 Sabah Publishing House Sdn. Bhd. (Co. No. 35782-P)
close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
Try 1 month for RM 18.00
open
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here