TAWAU: Mahkamah menetapkan 8 Mei sebagai tarikh sebutan semula kes seorang wanita yang didakwa membunuh bekas suaminya yang juga pemandu e-hailing.
Majistret Leona Dominic Mojiliu menetapkan tarikh itu bagi Nurima Juli, 33, apabila kesnya dikemukakan untuk sebutan pada Isnin.
Pihak pendakwaan memohon tarikh sebutan baharu kerana masih menunggu laporan bedah siasat dan laporan kimia daripada pakar. Pada 30 Januari lalu, Nurima didakwa membunuh Nurman Bakaratu, 61, antara jam 7.30 dan 10.30 malam pada 13 Januari lalu berhampiran kawasan ladang kelapa sawit di Jalan Anjur Juara, Jalan Apas Batu 5.
Kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu, yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.
Nurima mula-mula didakwa dalam kes pembunuhan itu yang menarik perhatian seluruh negara sejak penemuan mayat mangsa pada 16 Januari.
Dia ditahan lanjut sementara menunggu pelupusan kesnya kerana tuduhan terhadapnya tidak mempunyai peruntukan ikat jamin.
Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Khairul Azreem Mamat, TPR Rohaiza Abdul Rahman dan TPR Mohammad Fakhrurazzi Ahmad Salim hadir untuk pendakwaan, manakala tertuduh diwakili oleh Jhesseny Kang.
Pada 8 Februari lalu pula, enam anggota polis dan seorang awam turut didakwa di Mahkamah Majistret membabitkan kes sama.
Mereka terdiri daripada Rosdi Rastam, 44, Denis Anat Anit, 44, Fabian Anak Rungam, 43, Khairul Azman Bakar, 47, Mohd Azlan Sakaran, 39 dan orang awam, Vivien Fabian, 34.
Manakala, seorang pegawai kanan polis, Datuk Mat Zaki Md Zain, 58, didakwa bersubahat dengan enam tertuduh itu untuk membunuh mangsa di lokasi, tarikh dan masa yang sama.