Kuala Lumpur: Sabah dan Sarawak akan terus ketinggalan dari arus perdana pembangunan jika kerajaan baharu Malaysia terus mengguna pakai agihan bajet negara mengikut cara lama.
Ahli Parlimen Keningau, Datuk Seri Dr Jeffrey G Kitingan, berkata baru-baru ini Perdana Menteri telah mencadangkan pembayaran RM260 juta kepada Sabah dan RM300 juta kepada Sarawak.
“Kenapa bukan 40 peratus seperti yang termaktub dalam perlembagaan?” katanya, menegaskan hasil bersih 40 peratus dalam artikel 112C dan 112D masih belum dilaksanakan lagi.
Menurut Dr Jeffrey, Sabah dan Sarawak memerlukan pembangunan seperti yang dijanjikan kepada bapa-bapa kemerdekaan, bukan diberi alasan Kerajaan Pusat tidak ada duit.
“Duit itu adalah duit dari Sabah dan bukan dari negeri-negeri lain atau persekutuan dan Persekutuan menerima 60 peratus, selebihnya harus dipulangkan kepada Sabah,” katanya.
Dr Jeffrey menambah, dikhabarkan RM6.5 bilion yang diperuntukkan kepada Sabah dalam Bajet 2023 adalah merangkumi kira-kira RM5 bilion yang dibawa ke hadapan dari peruntukan 2022 yang tidak dapat dibelanjakan kerana birokrasi.
Dr Jeffrey minta penjelasan sekiranya perkara itu benar, maka Sabah hanya mendapat peruntukan RM1.5 bilion dalam bajet 2023 dan bukan RM6.5 bilion.
Dr Jeffrey yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah mencadangkan agar peruntukan pembangunan 2023 dan seterusnya dimasukkan terus ke dua akaun Amanah Pembangunan iaitu untuk Sabah dan untuk Sarawak.
“Dengan cara itu, peruntukan dapat dibelanjakan mengikut acuan Sabah dan Sarawak yang akan dikawal selia oleh jawatankuasa bersama Kementerian Persekutuan, Sabah dan Sarawak,” katanya.
Berdasarkan senario tersebut, Dr Jeffrey berhujah, disebabkan birokrasi maka Sabah tidak menerima sepenuhnya dana yang diperuntukkan dalam bajet tahunan, akibatnya baki dibawa ke tahun hadapan secara ‘rollover’.
Menurutnya akibat ‘rollover’ itu, setiap tahun RM4 hingga RM5 bilion yang diperuntukkan bagi pembangunan Sabah hanya dibelanjakan dalam tempoh empat atau lima tahun.
“Sekiranya RM4 hingga RM5 bilion peruntukan itu dibelanjakan setiap tahun maka jumlah nikmat pembangunan di Sabah boleh mencecah RM20 hingga RM25 bilion,” katanya.
Jelasnya peruntukan pembangunan yang lebih adil adalah berdasarkan nisbah 50 peratus untuk Semenanjung dan 50 peratus untuk Borneo mengikut entiti rakan kongsi sama taraf dalam Persekutuan Malaysia.