SANDAKAN: Seorang bayi di sini yang menghidap enchepalocele atau otak di luar tengkorak memerlukan sumbangan kira-kira RM30,000 untuk membiayai kos pembedahan bagi penyakit yang dihadapinya.
Bercakap kepada Harian Ekspres pada Selasa, ibu bayi itu, Mariah Ammah, 37, berkata Dayang Nurfateha Anum Jumlie, yang kini memasuki usia 11 bulan, disahkan menghidap penyakit itu sejak dalam kandungan lagi.
Mariah dan suaminya, Jumlie Jumat, 36, dikurniakan anak pertama itu setelah sembilan tahun mendirikan rumah tangga. Pasangan suami isteri itu turut menyara dua orang anak saudara mereka yang masing-masing berusia 10 dan 11 tahun. Jumlie bekerja sebagai juruteknik.
Mariah berkata, mereka juga telah mendaftarkan anak mereka di Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am bagi kategori orang kelainan upaya.
Sehubungan itu, orang ramai yang ingin membantu dalam kos pembedahan Anum boleh menghubungi Mariah di talian 0198617760 atau suaminya, 0168277097.
Ibu saudara Anum, Juliza Jumat, memuat naik rayuan untuk bantuan kewangan itu melalui laman Facebook.
Jelas Mariah, pembedahan Anum dijangka akan dibuat di Hospital Kanak-kanak dan Wanita (Hospital Likas) di Ibu Negeri.