Kota Kinabalu: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas sebuah kontena berisi daging babi bernilai lebih RM300,000 dengan anggaran duti serta cukai berjumlah RM65,000, disyaki cuba diseludup masuk ke dalam negara melalui Pelabuhan Tawau pada Isnin.Timbalan Menteri Kewangan I Malaysia, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, Isnin lalu, rampasan itu dilakukan oleh sepasukan anggota JKDM daripada Bahagian Penguatkuasaan Tawau dengan kerjasama Cawangan Import Eksport Pelabuhan Tawau.
“Pasukan bertindak menahan kontena tersebut berdasarkan hasil penilaian risiko dan imbasan mesin pengimbas di pintu masuk Pelabuhan Tawau.
“Hasil penelitian dan penilaian risiko melalui manifes, mendapati kontena dari Hong Kong itu diikrar sebagai mengandungi kentang jejari (french fries). Pemeriksaan mesin pengimbas menunjukkan imej yang meragukan.
“Oleh yang demikian, pemeriksaan fizikal dilaksanakan dan mendapati terdapat dua jenis barang di dalam kontena tersebut iaitu kentang jejari dan daging babi,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke kaunter Pemeriksaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu di sini, Selasa.
Kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1)(a) Akta Kastam 1967.
Sehubungan itu, beliau menyeru kepada orang ramai supaya terus membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah dan barang, serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut.
“Orang awam juga diminta untuk menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi talian bebas tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam terdekat di semua negeri,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Maslan turut memaklumkan pungutan hasil di Sabah bagi 2022 (Jan - Dis) adalah sebanyak RM1.791 bilion, termasuk Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dan Perkastaman.
“Kita berharap agar tahun ini, pencapaian ini boleh bertambah kerana kita meminta semua pihak Kastam di seluruh Malaysia meningkatkan pungutan hasil,” katanya.
Hadir sama semasa lawatan itu adalah Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah Mohd Nasir Deraman.