Kota Kinabalu: Mahkamah Tinggi menolak dan membatalkan petisyen pilihan raya yang dibuat oleh Awang Husaini Sahari dari Pakatan Harapan, untuk mencabar keputusan kemenangan kerusi Parlimen Putatan oleh calon Barisan Nasional (BN) Sabah Datuk Shahelmey Yahya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Hakim Wong Siong Tung membuat keputusan itu pada Jumaat melalui Zoom.
Mahkamah menyatakan bahawa petisyen tersebut difailkan di luar tempoh masa yang ditetapkan iaitu 28 hari mengikut Seksyen 38 (1)(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Pilihan Raya 1954.
Mahkamah juga menolak dakwaan pempetisyen bahawa kesilapan nombor dalam Bahagian D Borang 14 adalah ketidakpatuhan 24 (1) (b), 24 (1) (c), 25 (3) (b) dan 25 (4) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981.
Dalam penghakimannya, mahkamah memutuskan bahawa kesilapan itu hanya kesilapan kira-kira mudah dalam mengisi borang.
Mahkamah seterusnya menyatakan bahawa pempetisyen gagal untuk mengemukakan fakta material untuk menunjukkan bahawa pempetisyen mereka sebenarnya telah membantah keputusan seperti yang terkandung dalam borang tersebut.
Mahkamah juga memerintahkan pempetisyen membayar kos RM10,000 kepada semua pihak dalam petisyen pilihan raya tersebut.
Peguam Datuk Marzuki Spawi, Saiful Azian Mokhtar, Rizwandean Bukhary M Borhan dan Hassan Murtaza mewakili Shahelmey.
Manakala, Awang Hussaini diwakili peguam Nelson W Angang, Arthur Bonnie @ Borine dan Chua Kuan E.
Peguam Kanan Persekutuan Nurhafizza Azizan hadir untuk Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-15, Shahelmey memenangi kerusi Parlimen Putatan dengan majoriti 124 undi dalam pertandingan empat penjuru.
Shahelmey memperoleh 16,234 undi, menewaskan Awang Husaini yang memperoleh 16,110 undi, serta calon Parti Warisan Ahmad Mohd Said (8,511 undi) dan calon Pejuang Patrick Payne yang hanya memperoleh 394 undi.