Kota Kinabalu: Rentetan kemenangan tiga perlawanan Sabah FC terhenti apabila mereka seri 1-1 dengan Sri Pahang FC di Stadium Darul Makmur pada malam Ahad lalu.
Perlawanan itu turut menyaksikan ketua jurulatih Datuk Ong Kim Swee dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan pada separuh masa kedua.
Sabah FC bermula garang walaupun bermain di tempat lawan dan berpeluang mendahului pada minit ke-10 tetapi Jailton Lourenco gagal melakukan rembatan yang menepati sasaran.
Gol pembukaan hadir pada minit ke-13 apabila Daniel Ting melakukan tandukan jarak dekat daripada hantaran lintang Jafri Chew.
Kapten Park Tae-su berpeluang menggandakan kelebihan pada minit ke-22 tetapi percubaan pertamanya terkena tiang dan gagal melakukan rembatan susulan dengan baik.
Gol penyamaan tuan rumah terhasil akibat kesilapan pertahanan apabila Daniel dan Dominic Tan kedua-duanya jatuh di atas permukaan licin ketika cuba memintas bola yang membolehkan Kpah Sherman melakukan rembatan deras ke pintu gol.
Sabah FC terus mendominasi permainan pada separuh masa kedua dan pemain import Korea Kwang Min Ko menyaksikan rembatannya melepasi palang dua minit selepas perlawanan bersambung.
Walaupun Ong dibuang padang secara kontroversi pada minit ke-67 kerana mempersoalkan keputusan pegawai perlawanan, Sabah FC terus mengawal permainan dan merupakan pasukan yang lebih baik pada malam itu.
Ong berkata selepas perlawanan itu sukar bagi mereka untuk bermain permainan biasa mereka di bawah situasi di mana terdapat kekasaran berterusan.
Beliau turut menggesa pemain untuk belajar daripada kesilapan mereka melepaskan gol.
“Ia adalah kesilapan kami sendiri untuk melepaskan gol. Padangnya juga agak lembut dan sesiapa sahaja boleh melakukan kesilapan yang sama dalam keadaan sedemikian, dan saya harap ini akan menjadi pengajaran yang baik kepada pemain,” katanya.
Perlawanan Sabah FC yang seterusnya adalah di tempat sendiri menentang Penang FC pada 17 Mac.