Kota Kinabalu: Mahkamah Majistret di sini menjatuhkan hukuman penjara 18 bulan kepada seorang lelaki berusia 27 tahun kerana mencuri telefon bimbit daripada seorang wanita di sini, minggu lepas.
Azir Madayah mengaku bersalah di hadapan Majistret Stephanie Sherron Abbie terhadap pertuduhan mencuri gajet itu daripada Yuliana Patalang di premis Laundry 24 Hours di Metro Town, pada 12.15 tengah hari 8 Mac.
Mahkamah dimaklumkan oleh pihak pendakwaan bahawa pengadu, seorang pekerja pembersihan, meletakkan telefon bimbit itu di atas meja kerana dia mahu mengecap ibu jari pada suatu peranti untuk waktu rehatnya.
Azir, yang bersembunyi berhampiran mengambil kesempatan, merembat telefon bimbit itu dan melarikan diri, kata pihak pendakwaan.
Bagaimanapun, Azir ditangkap oleh pengawal keselamatan yang mendengar pengadu menjerit meminta tolong, mahkamah diberitahu.
Azir didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun, jika sabit kesalahan.
Dalam kes lain, seorang lelaki berusia 29 tahun dipenjara lapan bulan kerana menghalang seorang anggota polis daripada menjalankan tugasnya.
Mohd Shahrien Abd Majid mengaku melakukan kesalahan itu di Kg Air di sini pada 6.05 petang 7 Mac tahun ini.
Pihak pendakwaan dalam mengemukakan fakta kes, memberitahu mahkamah bahawa sebelum kejadian, polis cuba menahan kereta dipandu seorang lelaki, yang kemudiannya dikenali sebagai Shahrien, kerana tidak memasang tali pinggang keledar semasa memandu tetapi Shahrien terus memecut pergi.
Polis, yang mengejar Shahrien, menahannya di Kg Air, mahkamah diberitahu.
Shahrien didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Inspektor Suzie @ Stephanie Kupit.