Kota Kinabalu: Kumpulan tempatan Kina Ventures Sdn Bhd dan kumpulan pelabur dari Taiwan merancang untuk bekerjasama membina cadangan Taman Perindustrian Antarabangsa Sabah seluas 20,000 ekar bernilai RM10 bilion dan pelabuhan baharu dalam usaha sama dengan Kerajaan Negeri Sabah di Kimanis.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor diberi taklimat mengenai perkara ini semasa kunjungan hormat delegasi bersama Kina Ventures dan pelabur Taiwan yang diketuai Pengerusi Kina Ventures Datuk Maijol Mahap di pejabatnya di Menara Kinabalu di sini, baru-baru ini.
Keseluruhan pembangunan apabila siap akan mempunyai unjuran nilai pembangunan kasar akhir kira-kira RM200 bilion atau lebih dengan puluhan ribu peluang pekerjaan dan perniagaan akan diwujudkan untuk rakyat tempatan dan dengan hasil cukai jangka panjang yang lumayan kepada Kerajaan Negeri.
Taman perindustrian yang dicadangkan ini bertujuan untuk pelabur tempatan dan antarabangsa untuk menubuhkan kilang pembuatan dan pemprosesan, kedai, pejabat kedai industri dan lain-lain bersama dengan dataran komersial dan pembangunan kediaman.
Turut hadir Pengarah Urusan Kina Ventures Ir Herman S K Lee, Melvin Lee, Rachel Lee, Presiden Dewan Perniagaan Besar Hakka Taiwan Yeh Chun-Hui, Presiden Kehormatnya Yeh Chun-Rong serta beberapa pelabur dan perunding projek Taiwan.
Ketua Menteri berkata, Kerajaan Negeri sentiasa mengalu-alukan pelabur datang dan melabur di Sabah, selaras dengan dasar mesra pelaburnya.
Sementara itu, Kumpulan tempatan Megaworld Vest Sdn Bhd dan Kumpulan Gezhouba dari China merancang untuk memulakan usahasama membina loji penjanaan kuasa hidro bernilai RM4 bilion yang mampu menghasilkan sehingga 1,000 megawatt di Liwagu, Ranau.
Projek yang dicadangkan itu selaras dengan visi Kerajaan untuk memperkenalkan dan membina lebih banyak infrastruktur bekalan kuasa boleh diperbaharui di Sabah, untuk menggantikan secara beransur-ansur loji janakuasa gas dan diesel sekarang kerana kehabisan pengeluaran gas di Sabah dalam masa terdekat.
Gezhouba ialah kontraktor utama yang membina Empangan Three Gorges 22,500 megawatt di China, empangan kuasa hidro terbesar di dunia.
Hajiji diberi taklimat mengenai cadangan itu semasa kunjungan hormat delegasi bersama Megaworld Vest dan Gezhouba diketuai Pengerusi Megaworld Vest Datuk Seri Arsit Sedi di pejabatnya di Menara Kinabalu di sini, baru-baru ini.
Turut hadir Pengarah Megaworld Vest Datuk Maijol Mahap, Pengarah Urusannya Ir Herman SK Lee, Melvin Lee, Rachel Lee, Jimmy Tang.