SENI dan budaya adalah aset penting bagi sesebuah negara dan harus dipelihara serta dilindungi, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Beliau berkata budaya, identiti sesuatu kaum, akan lenyap sekiranya usaha mengekal dan mewariskannya kepada generasi muda tidak dilakukan.
“Jika identiti tidak dipelihara dan dilindungi dengan baik, ia akan dicemari oleh unsur lain sekali gus menyebabkan kepupusan nilai identiti budaya yang berharga. Kita juga mahu identiti ini diwarisi generasi muda agar mereka juga berasa lebih bertanggungjawab untuk memelihara identiti suku kaum masing-masing.
“Justeru, kita perlu menjaga budaya dan kesenian semua kaum sebagai khazanah yang bernilai tinggi agar ia dapat dipelihara sebagai salah satu warisan negara,” katanya pada perasmian Irau Rayeh Lundayeh Sabah ke-15 di Kompleks Persatuan Kebudayaan Lundayeh Sabah (PKLS), Sipitang, pada 4 Mac. Ucapan beliau dibacakan Menteri Belia dan Sukan Datuk Ellron Angin.
Selaras dengan tema “Inovasi Dijana, Tradisi Dipelihara”, Hajiji berkata Irau Rayeh Lundayeh Sabah adalah platform terbaik untuk mendedahkan seni dan budaya kepada generasi muda, serta orang dari luar Sabah.
“Melalui aktiviti kebudayaan seperti ini, ia akan membolehkan pelancong asing memahami dan mengenali budaya tempatan di Sabah khususnya Lundayeh,” tambahnya.
Pada majlis itu, Ellron menyampaikan Anugerah Khas PLKS kepada tiga penerima iaitu Ricky Yakub Ganang bagi Kategori Tokoh Budaya, Pangiran Salutan (Petani Inovatif) dan Datu Purud (Kategori Sukarelawan Lundayeh).
Turut hadir, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Ruslan Muharam, Ahli Parlimen Sipitang Datuk Matbali Musah, Adun Sindumin dan Pengerusi Qhazanah Sabah Berhad Datuk Dr Yusof Yaacob, Adun Kemabong Datuk Rubin Balang, Presiden Persatuan Kebudayaan Lundayeh Sabah Datuk Pangiran Lalung dan Bupati Kabupaten Malinau Kalimantan, Wempi W. Mawa.