KEISTIMEWAAN dan keunikan masyarakat berbilang kaum, etnik dan budaya di negara ini khususnya di Sabah perlu terus dipelihara dan dipertahankan, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
Beliau berkata, faktor itu menjadi elemen penting dalam memupuk perasaan hormat menghormati dan menerima kepelbagaian tersebut sebagai satu kekuatan yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri, kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat.“Budaya merupakan aspek penting dalam kehidupan kita yang menjadi identiti sesuatu bangsa dan etnik yang harus dipelihara serta dimartabatkan untuk kepentingan semua.
“Permodenan dan kemajuan tidak seharusnya menghalang rakyat daripada menghargai dan memperkukuh budaya yang diamal oleh masyarakat berbilang kaum, termasuk aspek tarian kebudayaan.
“Banyak perkara yang baik boleh dipelajari daripada kebudayaan seperti perpaduan, kelestarian gaya hidup, perlindungan sumber asli dan pemuliharaan budaya peribumi,” kata Hajiji pada pada Pesta Tarian Cina Peringkat Kebangsaan Ke-32 dan Pertandingan
Tarian Cina Peringkat Sekolah Ke-21 di Dewan Sekolah Menengah Kian Kok, pada 9 Mac lalu.
Teks ucapannya dibacakan oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Christina Liew.
Beliau berkata, Sabah yang kaya dengan budaya daripada 35 etnik dan 217 sub-etnik merupakan khazanah negeri yang amat bernilai untuk terus dipertahankan, demi meningkatkan perpaduan, selain sebagai sumber ekonomi negeri melalui industri pelancongan, industri seni kreatif, termasuklah industri kecil dan sederhana yang berasaskan komuniti. Menurutnya, Tarian Cina merupakan seni yang mengekspresikan emosi dalaman melalui bahasa badan dan mempersembahkan gambar yang indah dan persembahan tarian yang baik akan membawa inspirasi, meningkatkan nilai dan tahap kemanusiaan. Melalui aktiviti itu, Hajiji berharap dapat mencungkil lebih ramai bakat tarian yang akan menyumbang kepada pembangunan jangka panjang usaha kebudayaan Cina.
“Justeru penganjuran pesta ini dapat membantu mengetengahkan kepelbagaian budaya di Sabah, bukan sahaja untuk rakyat negeri ini, malahan kepada pelancong dari dalam dan luar negara. “Saya percaya pesta itu juga berupaya mempromosikan kebudayaan masyarakat Cina, sekali gus menarik lebih ramai pengunjung ke negara ini khususnya ke Sabah”, katanya.
Hajiji juga mahu masyarakat Cina
dan pencinta budaya tarian agar memberikan sokongan penuh kepada aktiviti itu kerana tarian merupakan sumber mengembangkan kecerdasan dan memupuk kreativiti, selain dapat menghindarkan golongan muda daripada aktiviti yang tidak sihat.