Kota Kinabalu: Menteri Kewangan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun memberi amaran supaya tidak mengeluarkan kenyataan terburu-buru mengenai projek mega bilion melibatkan Kerajaan Negeri sebelum melakukan penilaian asas.
Masidi berkata ini hanya akan menjadikan kerajaan sebagai bahan jenaka apabila rakyat lebih prihatin terhadap isu-isu berkaitan bekalan air yang stabil dan jalan raya yang boleh boleh digunakan oleh kenderaan.
“Kami mengalu-alukan pelabur dan projek asing tetapi kami mahu ia realistik untuk mengelak daripada dilihat sebagai orang yang mudah terpedaya dengan janji pelaburan namun mustahil untuk dilaksanakan. Ini akan mencerminkan integriti dan kredibiliti kami.
“Kita tidak boleh menghalang orang ramai daripada membuat pengumuman ini tetapi apabila anda cuba untuk mengaitkannya dengan Negeri, maka kajian kebolehlaksanaan harus dilakukan terlebih dahulu.
“Umum apabila ia boleh dilakukan. Sabah hanya mempunyai 3.9 juta penduduk dan apabila pihak tertentu mengumumkan projek melibatkan 20,000 hektar tanah, siapa yang akan membelinya?” katanya.
Pengumuman projek yang tidak bertanggungjawab seperti yang baru-baru ini melibatkan RM200 bilion, katanya, secara tidak langsung, akan menyebabkan orang ramai melabel kerajaan sebagai gagal.
Malah, katanya, mereka akan marah kerana memikirkan mereka tidak diberi kemudahan asas yang mencukupi.
Masidi menasihatkan bahawa cadangan sebesar itu hendaklah terlebih dahulu melalui Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri kemudian kepada Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Negeri dan cabang pelaburan Negeri yang berkaitan.
“Kami hanya mahu bekerjasama dengan pelabur yang boleh dipercayai dan tulen,” katanya.
Mengenai kekurangan bekalan air Sabah, Masidi berkata beliau telah berbincang dengan Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya mengenai penswastaan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS).
Masidi berkata terdapat pro dan kontra mengenainya tetapi kerajaan perlu terlebih dahulu menyelesaikan isu seperti pemindahan pegawai JANS dan enakmen dan undang-undang seterusnya untuk perkhidmatan air.
“Ia adalah satu pilihan yang kami sedang lihat,” tambahnya.
Masidi ditemui selepas merasmikan majlis Sistem Indeks Akauntabiliti Negeri di Sutera Harbour pada Khamis yang digunakan untuk memudahkan audit kewangan dan kawalan dalaman agensinya. Beliau menggesa penjawat awam supaya menjadi seperti ah long (pemberi pinjam wang tanpa lesen) apabila menuntut cukai jualan tertunggak.
“Sesetengah (agensi) membiarkan syarikat merosot selama bertahun-tahun manakala yang lain tidak menghantar satu surat pembayaran pun. Kita seharusnya lebih proaktif. Lagipun ia adalah wang rakyat dan ia harus dibayar sepenuhnya.
“Penjawat awam mempunyai pemikiran bahawa buat atau tidak, mereka masih akan mendapat gaji pada hujung bulan berbanding sektor swasta yang sentiasa bertarung.
“Baru-baru ini kita mengumpul RM20 juta hasil cukai jualan dan jumlah itu masih sikit. Namun, syarikat-syarikat ini mula membayar.
“Kita semua sepatutnya melakukan kerja yang diberikan dan nyatakan natijah jika tidak membayar atau Sabah akan terus rugi,” katanya.