Kuala Lumpur: Kerajaan negeri Sabah menyasarkan 2.2 juta kedatangan pelancong domestik dan antarabangsa ke negeri itu pada tahun ini, selari dengan pelancaran slogan baharu bagi destinasi pelancongan Sabah iaitu ‘Feel Sabah, North Borneo’.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Christina Liew pada Jumaat berkata dalam mencapai sasaran itu, pihaknya menggunakan kenderaan e-hailing bagi mempromosikan pelancongan Sabah.
“Buat masa ini kami baharu sahaja membuka sempadan, oleh itu sasaran kami ialah kira-kira 2.2 juta kedatangan (pelancong) dan kami harap dapat mencapai sasaran tersebut, tetapi jika lebih daripada itu lebih baik.
“Berbanding senario prapandemik sebelum kami menutup sempadan, jumlah kedatangan (pelancong) di Sabah ialah 4.25 juta,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan slogan baharu Sabah Tourism iaitu ‘Feel Sabah, North Borneo’ pada pameran Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) di sini.
Pada majlis itu, beliau melawat Pavilion Sabah dan melepaskan konvoi 10 daripada 100 kenderaan e-hailing yang dilekatkan dengan pelekat ‘Feel Sabah, North Borneo’ yanng akan berada di sekitar Lembah Klang selama tiga bulan bagi tujuan promosi.
Liew berkata slogan ‘Feel Sabah, North Borneo’ yang digunakan itu juga adalah bagi mengembalikan sejarah Sabah yang dahulunya dikenali sebagai Borneo Utara dan kini merupakan sebahagian daripada Malaysia.
“Kami membawa orang ramai kembali kepada sejarah Sabah dan untuk merasai alam sekitar ekopelancongan Borneo Utara yang ditawarkan. Saya percaya ramai dalam kalangan generasi muda tidak mengetahui masa lalu Sabah yang bersejarah dan ‘berwarna-warni’.
“Oleh itu, di samping mereka merasai keindahan alam sekitar Sabah, kemesraan hospitaliti, warisan budaya dan haiwan liar ikonik, mereka juga dapat merasai khazanah masa lampau seperti barangan antik daripada era Borneo Utara.
“Tambahan lagi, ini menekankan lokasi geografi kami sebagai satu negeri Malaysia di bahagian utara Pulau Borneo,” katanya.
Sementara itu, Christina gembira dengan pengumuman rasmi mengenai pewujudan semula penerbangan terus berjadual ke Kota Kinabalu dari Shenzhen, Xiamen dan Shanghai tahun ini melalui syarikat penerbangan utama China.
Perkhidmatan penerbangan itu dihentikan kerana pandemik Covid-19 dari 2020 hingga 2022.
Christina berkata pengumuman itu dibuat oleh pegawai tinggi syarikat dari syarikat penerbangan itu di Kuala Lumpur, masing-masing mewakili China Southern Airlines, Xiamen Airlines dan China Eastern Airlines, pada mesyuarat makan malam yang diadakan di Hotel JW Marriot di sini, Khamis.
“Pengurus Besar China Southern Airlines (Eric Wang Xu) mengesahkan kepada saya bahawa syarikat penerbangan itu akan mengembalikan semula perkhidmatan penerbangan dari Shenzhen ke Kota Kinabalu mulai 29 April. Terdapat tiga penerbangan mingguan pada hari Selasa, Khamis dan Jumaat,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Jumaat.
Christina berkata, Xiamen Airlines juga akan menyambung perkhidmatan penerbangannya dari Xiamen ke Kota Kinabalu sekitar Mei, menurut Pengurus Besarnya Gao Ya Shuang.
Menteri juga gembira mendengar daripada Pengurus Besar China Eastern Airlines Li Bin bahawa syarikat itu akan menyambung semula perkhidmatan penerbangannya dari Shanghai ke Kota Kinabalu pada bulan Jun atau Julai.
“Langkah tepat pada masanya oleh tiga syarikat penerbangan China ini merupakan petanda baik bagi usaha Kerajaan Negeri untuk merangsang pemulihan pelancongan selepas wabak,” tambah Christina.
Hadir sama Pembantu Menteri merangkap Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB) Datuk Joniston Bangkuai, Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian 1 Mary Malangking, Ketua Pegawai Eksekutif STB Noredah Othman dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif STB Tay Shu Lan.
Sementara itu, Christina mengingatkan pihak Pengurusan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) supaya menambah baik tandas awam dan memastikan kebersihan kemudahan itu pada setiap masa bagi mengelak rasa aib.
“Sila ambil langkah-langkah yang perlu untuk memastikan bekalan air sentiasa ada bagi mengelakkan bau busuk dari tandas,” katanya.