Kota Kinabalu: Ahli Parlimen Putatan Datuk Shahelmey Yahya menyatakan bahawa setakat ini, beliau belum menerima sebarang surat rasmi mengenai penggantungan keahliannya dalam Umno.
Timbalan Ketua Menteri III itu berkata beliau hanya mengetahui perkara berkenaan melalui media dan hanya akan membuat sebarang keputusan, setelah menerima secara rasmi surat penggantungan daripada Umno.
“Kita tunggu pengesahan tentang penggantungan keahlian saya selama enam tahun, sekiranya ia menjadi realiti status saya sebagai Ahli Parlimen masih sah,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan sumbangan moreh di Masjid Daerah Putatan di sini.
Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya Sabah berkata penggantungan itu, tidak bermakna beliau dipecat daripada Umno dan masih menjadi wakil rakyat Barisan Nasional (BN) serta Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Keramat.
Beliau berkata statusnya sebagai Ahli Parlimen hanya akan berubah, jika bertukar parti dan kedudukannya ditentukan Yang Dipertua Dewan Rakyat.
Ahad lalu, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin mengumumkan, Shahelmey digantung keahlian dalam parti selama enam tahun.