Kota Kinabalu: Sebuah pejabat konsul Filipina yang tetap di Kota Kinabalu dan Sandakan perlu dibuka oleh pihak konsul negara itu bagi manfaat serta rujukan ribuan pendatang atau migran negara berkenaan yang kini menetap di Sabah.Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong menggesa kepada Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir untuk menuntut rakan sejawatan dari Filipina untuk melakukan perkara itu secepat mungkin kerana pejabat konsulat tetap di Sabah itu sudah lama tertangguh. Jelasnya, penubuhan pejabat konsulat tetap di Sabah ini dilihat akan memberi manfaat kepada Malaysia dan warganegara Filipina
Beliau berkata demikian pada perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 Kementerian Luar Negeri (Peringkat Jawatankuasa) di Parlimen.
Vivian memandang isu pendatang asing di Sabah sebagai punca segala masalah di Sabah memandangkan isu pendatang asing ini telah memberi kesan kepada Sabah selama lebih 30 tahun, melibatkan soal keselamatan, sosial dan ekonomi.
“Namun, masih tiada hala tuju atau pendekatan yang jelas diambil sehingga kini untuk mengatasi isu ini secara serius,” katanya.
Justeru, salah satu langkah penting untuk membantu mengurangkan masalah yang ditimbulkan oleh isu pendatang asing di Sabah ini ialah dengan penubuhan pejabat konsulat tetap di Sandakan dan Kota Kinabalu bagi memudahkan sebarang urusan berbanding hanya di Kuala Lumpur ketika ini, katanya.
Vivian juga menyeru Menteri dan kementerian itu agar lebih proaktif dalam melaksanakan sesi libat urus dengan semua pesuruhjaya tinggi dan kedutaan asing untuk menyemak nasihat perjalanan semasa yang dikeluarkan untuk perjalanan warganya ke pantai timur Sabah. Beliau memuji Jabatan Negara Amerika Syarikat atas semakan mereka terhadap nasihat perjalanan ke Timur Sabah, di mana ia telah diturunkan taraf kepada Tahap 2: iaitu Exercise Increased Caution.
Bagaimanapun, beberapa negara lain di Asia Pasifik dan Eropah, seperti UK, Kanada, New Zealand, Jepun dan Korea Selatan masih mengenakan nasihat Tahap 3 yang lebih tinggi di mana mereka menasihati warga masing-masing agar mengelakkan perjalanan tidak penting.
“Saya tidak percaya bahawa ini adalah gambaran yang tepat tentang keadaan semasa yang dinyatakan tentang negeri ini.
“Nasihat sedemikian juga telah menjejaskan usaha kita dalam menarik lebih banyak pelaburan serta pelancong asing ke Sabah,” tambahnya.
Justeru, beliau amat menggesa Menteri untuk melibatkan diri dan menunjukkan kepada kedutaan-kedutaan ini bahawa nasihat perjalanan seperti itu tidak lagi relevan.
Pada sesi perbahasan sama, Vivian juga memohon kepada Menteri berkenaan untuk menjelaskan mengenai peningkatan lebih 400 peratus bagi perkhidmatan dan bekalannya di mana sejumlah RM43.4 juta telah dianggarkan untuk tahun 2023 dan Ini merupakan peningkatan lebih 400 peratus dari tahun lalu.