Tuaran: Satu lagi projek perumahan rakyat akan dibina di Kampung Serusup, 4 kilometer dari pekan di sini, di mana Kerajaan Negeri menyediakan 1,853 unit rumah mampu milik untuk golongan B40.
Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) dijangka melaksanakan projek tersebut dalam tempoh terdekat sebaik sahaja perjanjian tambahan usahasama (kali kedua) dengan pemaju ditandatangani selepas bulan Ramadan ini, kata Pengerusinya, Datuk Masiung Banah.
“Seluas 15.61 ekar di dua lokasi berdekatan telah diwartakan untuk membina perumahan tersebut yang mengandungi lima blok apartmen dengan RM406 juta,” katanya semasa melawat tapak cadangan projek itu, Selasa lepas.
Masiung berkata, daripada bilangan itu, tiga blok apartment mengandungi 1,062 unit dibina di tapak seluas 8.92 ekar. Selebihnya, dua blok lagi mengandungi 792 unit dibina bersebelahan di atas tanah seluas 6.69 ekar dengan jarak lokasi 500 meter.
Menurut Wakil Rakyat Kuamut itu, projek perumahan mampu milik itu merupakan inisiatif Kerajaan Negeri bagi memenuhi keperluan tempat kediaman rakyat terutama golongan B40.
Masiung berkata, projek perumahan itu dijangka siap pada 2025. Setiap unit apartmen tiga bilik itu akan dijual pada harga RM250,000 ke atas.
Menurut beliau, perumahan mampu milik itu dilaksanakan secara usahasama dengan pemaju tempatan.
Semasa lawatan tapak itu, Masiung diiringi Timbalanya, Datuk Hajah Jamilah Antalip dan Ahli-ahli Lembaga Pengarah LPPB. Pengurus Besar, Rosemary Ahping, Pengurus Komersial, Della Sindul dan Pegawai Tanah, Isidore Lajawah turut hadir bersama wakil Jabatan Perancang Bandar dan Wilayah Sabah.