KEDUA-DUA Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dan Menteri Kewangan Negeri Datuk Seri Masidi Manjun memberi amaran kepada pihak berkepentingan agar tidak mengeluarkan kenyataan mengenai projek berbilion ringgit yang melibatkan Kerajaan Negeri sebelum projek-projek itu melalui penilaian.
Hajiji berkata semua pelaburan asing dan domestik utama mesti disemak sepenuhnya dan hanya selepas semua kriteria dipenuhi barulah pengumuman rasmi dikeluarkan Kerajaan Negeri.
Beliau berkata tiada keputusan dibuat mengenai cadangan yang dikemukakan oleh sekumpulan pelabur mengenai taman perindustrian dan empangan pada 15 Mac itu.
“Semua cadangan perlu diteliti sebelum Kerajaan Negeri membuat pengumuman,” katanya dalam satu kenyataan.
Masidi berkata pengumuman rambang seperti itu akan menjadi bahan jenaka, terutamanya apabila rakyat lebih inginkan bekalan air dan jalan raya yang boleh digunakan oleh kenderaan.
“Kami mengalu-alukan pelabur dan projek asing tetapi kami mahu ia realistik untuk mengelak daripada dilihat begitu mudah terpedaya dengan janji pelaburan yang mustahil untuk dilaksanakan.
“Ini akan mencerminkan integriti dan kredibiliti kami.
“Kita tidak boleh menghalang orang ramai daripada membuat pengumuman ini tetapi apabila anda cuba untuk mengaitkannya
dengan Negeri Sabah, maka kajian
kebolehlaksanaan perlu dilakukan terlebih dahulu.
“Umumkan apabila ia boleh dilakukan. Sabah mempunyai hanya 3.9 juta penduduk dan apabila pihak tertentu mengumumkan projek melibatkan 20,000 ekar, siapa yang akan membelinya?” katanya.
Pengumuman projek yang tidak bertanggungjawab seperti yang berlaku baru-baru ini melibatkan RM10 bilion, katanya, akan menyebabkan orang ramai melabelkan Kerajaan sebagai gagal dan menimbulkan kemarahan orang ramai yang bergelut dengan kemudahan asas yang tidak mencukupi.
Beliau berkata cadangan sedemikian hendaklah terlebih dahulu melalui Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, kemudian Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Negeri dan cabang pelaburan Negeri yang berkaitan.
“Kami hanya mahukan pelabur yang boleh dipercayai dan tulen,” katanya.
Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah (MIDE), Phoong Jin Zhe, menyokong kenyataan Masidi.
Phoong berkata sebagai Menteri yang bertanggungjawab, beliau tidak mempunyai pengetahuan mengenai projek-projek itu dan hanya mengetahuinya melalui media.
“Salah satu projek yang diumumkan ialah membina taman perindustrian antarabangsa. Kami tidak dimaklumkan tentang sebarang butiran idea itu. Ini tidak wajar dan tidak sesuai.
“Sebarang hasrat pelaburan sekurang-kurangnya perlu dinilai dan ditapis oleh Kementerian saya di peringkat negeri terlebih dahulu sebelum membuat pengumuman,” katanya.
Phoong berkata beliau mempunyai pasukan petugas yang kuat dan berkebolehan yang dipengerusikan Setiausaha Tetap MIDE, Datuk Thomas Logijin.
“Kementerian saya mengalu-alukan dan berbesar hati membantu pelabur melalui proses yang diperlukan seperti yang dilakukan oleh syarikat Korea Selatan SK Nexilis dan Kibing Solar dari China apabila mereka menyatakan minat untuk melabur di Sabah,” katanya.