Kota Kinabalu: Kerajaan Persekutuan, terutamanya Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) diminta untuk mempertimbangkan cadangan untuk menukarkan status pinjaman kepada geran bagi biayaan Persekutuan di taman-taman perindustrian di bawah Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan (MIDE) Sabah.
Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy yang menyuarakan itu mengesyorkan agar bermula pada Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), semua peruntukan Persekutuan diberi secara geran kepada taman-taman perindustrian di Sabah.
“Kedua, pinjaman sedia ada bagi taman-taman perindustrian di Sabah sehingga Pelan Pusingan Ke-3 (RP3) RMK12 dengan nilai keseluruhan pinjaman berjumlah RM273,519,585.97, ditukar kepada geran,” katanya.
Jelasnya, ia merangkumi pecahan berikut: KKIP Sdn. Bhd. (RM261,849,585.97) dan POIC Sdn. Bhd (RM11,670,000.00).
Menurut beliau, cadangan itu dibuat atas beberapa justifikasi.
Pertama, Sabah mendapat jumlah nilai pelaburan yang besar dan ini menjana pembangunan ekonomi serta meningkatkan nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri dan secara langsung meningkatkan pendapatan negara dan nilai KDNK Malaysia.
“Contohnya, Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) menyumbang sebanyak RM315 juta setahun kepada nilai KDNK Malaysia dan membayar kira-kira RM75 juta setahun untuk kutipan Cukai Korporat kepada Kerajaan Persekutuan,” katanya.
Beliau menambah, untuk tempoh tiga tahun iaitu dari 2019 hingga 2021, sektor perindustrian merupakan antara penyumbang kepada KDNK Sabah dengan RM6.5 bilion (atau 7.6 peratus) pada 2019; RM 6.0 bilion (7.8 peratus) pada 2020 dan RM5.9 bilion (7.5 peratus) pada 2021.
“Kedua, taman-taman perindustrian di Sabah telah mewujudkan peluang pekerjaan dan mampu menjana pelaburan berskala besar.
“Pada ketika ini, KKIP telah berjaya menarik 300 syarikat perkilangan untuk beroperasi dengan nilai pelaburan berjumlah RM10.5 bilion dan telah membuka sebanyak 18,031 peluang pekerjaan.
“POIC Lahad Datu pula telah berjaya menarik 35 syarikat perkilangan untuk beroperasi dengan nilai pelaburan berjumlah RM3.5 bilion dan telah membuka 2,186 peluang pekerjaan.
“Selain itu, Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (Sogip) telah membawa masuk syarikat Petronas untuk menjalankan operasi dengan nilai pelaburan berjumlah RM6.73 bilion dan telah membuka 450 peluang pekerjaan.
“Secara keseluruhannya, nilai pelaburan ketiga-tiga taman perindustrian ini ialah RM20.73 bilion.
“Justeru itu, melihat kepada perkembangan positif angka-angka ini, saya percaya penukaran status pinjaman ini kepada geran akan akan membantu perindustrian di Sabah untuk lebih maju dan berdaya saing dalam memfokuskan kepada tarikan kepada pelabur,” ujarnya.
Ketiga, kata Andi, Kerajaan Persekutuan sewajarnya memperuntukkan geran untuk melaksanakan infrastruktur asas di kawasan taman-taman perindustrian di Sabah sepertimana di negeri lain dalam Malaysia dan tidak membeza-bezakannya, memandangkan kesemua kawasan taman perindustrian yang wujud di negara ini berpotensi menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
“Untuk makluman pihak kementerian, Kerajaan Negeri Sabah melalui MIDE telah mengemukakan Kertas Cadangan bagi Permohonan Penukaran Status Pinjaman Kepada Geran bagi Biayaan Persekutuan di taman-taman perindustrian negeri Sabah yang telah dibentangkan secara atas talian dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Sosioekonomi (JKSE) Bil. 2 Tahun 2022 pada 1 September 2022 dan seterusnya diangkat ke Mesyuarat Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) Kali Ke-5 pada 8 September 2022 yang lalu,” katanya.
Beliau membahas pada peringkat jawatankuasa Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri di Dewan Rakyat, di sini, pada Rabu.
Terdahulu, Andi yang juga Pembantu Menteri MIDE berkata, di bawah MIDE terdapat tiga buah taman perindustrian yang berada di bawah bidang kuasanya iaitu KKIP, POIC Lahad Datu dan Sogip.
Namun, katanya, terdapat beberapa isu yang menghalang perkembangan pembangunan ini apabila ia dilaksanakan menerusi pinjaman peruntukan persekutuan. Antara masalah tersebut adalah kekangan untuk membangunkan infrastruktur asas di kawasan taman-taman perindustrian di Sabah, dan terpaksa menanggung bebanan hutang yang tinggi hingga menjejaskan usaha proaktif untuk melaksanakan projek berimpak tinggi dalam memacu pertumbuhan ekonomi Sabah.
“Saya mempunyai keyakinan penuh sekiranya bebanan hutang sedia ada ini digantikan dengan geran daripada peruntukan persekutuan, sudah pasti ia merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi negeri Sabah yang lebih komprehensif selari dengan matlamat Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
“Diharapkan pertimbangan yang sewajarnya akan dibuat oleh pihak kementerian,” katanya, yang juga Adun Tanjung Batu.