SANDAKAN: Akibat gagal mematuhi piawaian kebersihan, enam kilang proses makanan di daerah ini diarah tutup serta merta.
Arahan penutupan selama 14 hari terhadap enam kilang tersebut dikeluarkan selepas operasi mengejut ke atas 10 kilang proses makanan dilaksanakan sepanjang bulan ini.
Menurut Pegawai Kesihatan Sandakan, Dr. Johari Awang Besar, seramai 10 pegawai terdiri daripada Pejabat Kesihatan Kawasan Sandakan dan Majlis Perbandaraan Sandakan terlibat dalam operasi tersebut.
“Dalam operasi tersebut, kita telah memeriksa enam kilang penyembelihan ayam dan empat kilang roti di sekitar Sandakan.
“Pemeriksaan ini bermatlamat untuk memastikan premis sentiasa dalam keadaan bersih, kemas dengan mewujudkan Jaminan Keselamatan Makanan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Hasil pemeriksaan telah mengesan dua buah rumah penyembelihan ayam dan empat kilang roti gagal mematuhi kehendak dibawah Seksyen 11(Premis tidak suci) dibawah Akta Makanan 1983 dan Peraturan 9 dibawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985.
“Premis diarahkan tutup serta merta selama 14 hari untuk memberi ruang bagi kerja-kerja pembersihan dan sementara itu juga enam notis kompaun di bawah seksyen 32B turut dikeluarkan kerana gagal mengadakan Program Jaminan Keselamatan Makanan sepeti yang diwajibkan keatas semua kilang proses makanan.
“Kesalahan lain yang ditemui iaitu pekerja tidak memiliki Kad Kesihatan berserta sijil kursus pengendali makanan, lantai bangunan licin, berlumut dan kotor, perkakas dan peralatan tidak diselenggara dengan baik, kemudahan perparitan tidak berfungsi dengan baik dan pengurusan sampah serta sisa buangan tidak diurus dengan sempurna,” ujarnya.
Jelasnya, perbuatan seumpama ini sudah tentu akan memberi gambaran tidak baik kepada sumber bekalan daging ayam segar di daerah itu dan boleh mengundang ketidakpuasan hati pelanggan.
Dalam pada itu, Johari turut mengalu-alukan sebarang aduan jika mendapati rumah sembelihan atau mana-mana premis memproses makanan yang tidak mengutamakan kebersihan agar tindakan segera dapat diambil.
“Penguatkuasaan seperti ini akan diteruskan dari semasa ke semasa dan tidak ada kompromi untuk sebarang ketidakpatuhan arahan yang dikeluarkan.
“Bagi memastikan bekalan roti dan ayam di daerah ini adalah berkualiti dan selamat untuk dimakan, Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan Pejabat Kesihatan Sandakan akan sentiasa memantau premis makanan bagi memastikan makanan yang dijual kepada masyarakat adalah selamat dan berkualiti,” tambahnya.