PELANCARAN oleh Sunduan Nabalu (Persatuan Pengamal Adat Sabah) bagi sekolah adat kelima yang diwujudkan pada 22hb bulan ini di Telipok harus disanjung dan disokong. Ia merupakan satu lagi bukti semangat rumpun Momogun untuk mengekalkan warisan budaya mereka dengan harapan dapat mengekalkan identiti sebagai satu bangsa.
Dan tabik hormat juga kepada Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey Kitingan, yang merasmikan pelancaran yang begitu meriah dan dihadiri oleh ramai hadirin itu dalam kapasitinya sebagai timbalan ketua menteri dan Huguan Siou Lundu Mirongod serta sebagai timbalan presiden KDCA. Perjuangannya untuk budaya selama beberapa dekad telah memperlihatkan beliau menubuhkan Yayasan Warisan Borneo (BHF) dan mengambil kepimpinan tertinggi Forum Dayak Borneo.
Walau bagaimanapun, tanpa mengira kemeriahan luarannya yang begitu membangkitkan semangat, seseorang mungkin boleh bertanya sama ada misi demi adat oleh Sunduan Nabalu sudah mencukupi untuk mencapai visi kolektif kita untuk pemeliharaan budaya. Dalam masa perubahan sosiobudaya yang pantas hari ini akibat pengaruh budaya dunia ala Amerika, banyak sekali unsur-unsur besar warisan budaya kita, bukan sahaja adat, yang terus hilang dengan cepatnya.
Kita telah menghadapi dilema selama beberapa dekad sekarang dalam memilih antara mengekalkan budaya kita vs menjadi warga dunia. Seorang datuk Momogun pernah bertanya soalan yang mencabar: “Adakah kami mahu meneruskan sebagai Momogun tradisional atau menjadi warga dunia?” Dalam satu seminar KDCA datuk yang sama mempersoalkan pembentang kertas kerja yang menyeru agar dibangkitkan “momolianisme” (kehidupan tradisional dengan animisme sebagai agama) dengan bertanya, “Saya seorang Kristian jadi bagaimana saya akan kembali kepada animisme?”
Perhimpunan para bobohizan dan tantagas di Penampang baru-baru ini untuk memberkati pemindahan patung sigah adalah bukti bahawa dilema ini masih berterusan. Ironi acara sigah dan ritual lain dalam majlis rasmi berkaitan anak negeri, termasuk upacara pengangkatan atau ‘pertabalan’ animistic mana-mana pemimpin Momogun, serta Mamahui Pogun di Tuaran, pengorbanan ayam dan kerbau di Gunung Kinabalu, semuanya disertai oleh orang-orang Kristian dan penganut agama lain. Para hadirin itu tidak risau tentang konflik rohani mereka, walaupun rinait (mantera) pagan untuk memanggil roh tradisional dilakukan, dan ditambah pula dengan korban haiwan.
Situasi ironis ini disebabkan ketidakupayaan sesetengah Momogun untuk melepaskan diri sepenuhnya daripada semangat animisme masa lalu walaupun mereka sudah mempunyai agama baru. Di Tuaran hari ini orang Kristian meratapi pemergian tantagas, pengacara agama tradisional, kerana menganggap kehilangan itu sebagai sesuatu yang tragis, kematian satu pusaka yang indah, keruntuhan ikon budaya yang telah menjadi sebahagian daripada kenangan indah dan tonggak identiti kita sejak zaman lampau. Sememangnya para pemimpin secara lazimnya berucap tentang pentingnya memelihara budaya untuk menunjukkan patriotisme budaya mereka, tetapi tidak banyak dari mereka yang dapat mencari jalan untuk mengatasi kehilangan budaya, sebagaimana yang dilakukan oleh Sunduan Nabalu.
Memang tidak ada usaha yang mencukupi untuk meneliti lebih serius akan ‘masalah’ kehilangan budaya, kematian bahasa, penghapusan identiti yang pesat dan trend pengenepian adat yang kebanyakannya disebabkan oleh penukaran agama dan permodenan. Oleh itu, tidak ada kesedaran dan rasa panik untuk mahu melakukan usaha bagi menentang aliran budaya yang ‘negatif’ ini. Mungkin, jauh di dalam sanubari kita, kita telah secara senyap-senyap menyerah kepada realiti betapa sukarnya menebalikkan trend kehilangan budaya, maka justeru itu kita sudah berserah kerana memang tidak berdaya, maka kita terus sudah tidak peduli.
Anehnya, bertentangan dan ironis dengan semua kehendak kita terus mematuhi dan melaksana ritual adat animistik, rumpun Momogun pula tidak mempunyai masalah pula untuk dengan mudah meninggalkan gaya hidup masa lalu dalam mengejar kejayaan pendidikan dan ekonomi! Malah sebenarnya hanya segelintir sahaja dari kita yang melakukan ritual animisme pada upacara-upacara tertentu, atau berusaha sepanjang hidup demi untuk kekalkan budaya lama. Majoriti orang-orang kita sebenarnya sedang berada dalam perjuangan bertungkus-lumus mengejar kejayaan.
Percampuran antara kaum yang lebih cair telah lama membawa perkahwinan campur yang banyak menghapuskan identiti kita secara beransur-ansur, kerana ia menggabungkan kita dengan orang lain dari segi perkauman dan agama. Perkahwinan antara dua suku Momogun yang berbeza pada masa lalu berakhir dengan keluarga bercakap salah satu daripada dua bahasa bunda ibu bapa, tetapi hari ini kita telah mengambil jalan penyelesaian yang mudah dengan melompat ke bahasa Melayu atau Inggeris secara automatik, seterusnya membawa kepada kehancuran bahasa kita. Kemunculan teknologi tinggi semakin jelas menjadi faktor penyamaan terbesar yang menghapuskan semua sempadan perbezaan antara pelbagai bangsa. Mobiliti geografi kami menyaksikan kami menyeberangi sempadan negara-negara ke semua benua dan lihatlah, kita telah mencipta diaspora Momogun.
Sunduan Nabalu pasti menyedari bahawa pada masa akan datang, adat istiadat dan nilai sosial akan berubah begitu banyak sehingga kita tidak lagi menjadi Momogun tetapi akan terangkum dalam apa yang dipanggil budaya dunia (world culture) yang pada masa ini, bagaikan seekor naga besar yang tidak dapat dihalang, sedang menelan semua kumpulan
bahasa atau bangsa minoriti seperti kita. Sebuah berita beberapa hari lalu melaporkan bahawa
empat bahasa suku kaum di
Sarawak (Seru, Pegu, Bliun dan Lelak) telah pun pupus. Berapa banyakkah bahasa suku yang telah hilang selama-lamanya di Sabah? Bahasa Buludupi masihkah hidup hari ini?
Oleh yang demikian, kajian dan kodifikasi adat bagi banyak masyarakat sukuan sudah pasti merupakan satu langkah yang patut dipuji. Tetapi memelihara dan menghidupkan adat sahaja tidak mencukupi. Sunduan Nabalu juga harus memasukkan dalam agendanya memelihara bahasa kita kerana bahasa ibunda kita adalah bahasa sangat asas kepada jati diri kita. Guru-guru bahasa ibunda tempatan akan mempunyai masa depan yang lumayan, cerah dan stabil kerana sekarang ini pun sekolah-sekolah bahasa tradisional sudah kekurangan guru.
Tetapi apakah yang akan dibuat oleh para graduan adat nanti? Buat apa mereka akan mengajar adat jika tidak lama lagi ada adat lama yang tinggal kerana telah diganti sepenuhnya oleh gaya hidup budaya dunia? Apabila ini berlaku malah Mahkamah Anak Negeri juga tidak lagi akan mempunyai tujuan untuk terus wujud!