LAHAD DATU: Tiga orang termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun cedera apabila Proton Saga dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori tangki dan Toyota Vios di Jalan Lahad Datu-Sandakan, Jumaat.
Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri dalam kenyataan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 7.07 malam melalui MERS999.
Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Lahad Datu dikejarkan ke lokasi kejadian bersama sebuah jentera bomba dan kenderaan EMRS.
“Sebaik tiba, pasukan mendapati kemalangan itu melibatkan tiga kenderaan dan lapan orang termasuk empat wanita.
“Salah seorang mangsa terperangkap di dalam kenderaan dan anggota kami berjaya mengeluarkan mangsa. Dua lagi penumpang kenderaan sama turut cedera.
“Lima lagi terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan. Kesemua mangsa yang cedera diberi rawatan awal oleh pasukan EMRS dan ambulans sebelum dibawa ke hospital,” katanya.
MYVI yang terbabas ke dalam parit dalam insiden di Kunak.
Operasi tamat jam 8.35 malam selepas pasukan mengesahkan tiada bahaya lain di tempat kejadian.
Sementara itu, di KUNAK, pemandu dan penumpang Perodua Myvi terselamat selepas kenderaan itu terbabas dan terbalik di Jalan Sungai Atas di sini, Sabtu.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kunak, Mohamad Omarbatha berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi talian MERS999 jam 2.07 petang.
Sepasukan anggota diketuai Oma Tome bersama jentera FRT dan kenderaan EMRS ke lokasi kejadian yang jaraknya satu kilometer dari balai.
“Pada awalnya kemalangan itu turut melibatkan kebakaran di bahagian bateri kereta tetapi tindakan pantas orang awam menggunakan alat pemadam api dapat membantu memadam kebakaran itu sebelum bomba tiba.
“Dua orang yang terlibat dalam kemalangan itu dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanyam menambah pasukan turut menjalankan pemeriksaan lanjut di lokasi bagi memastikan tiada lagi bahaya lain.
Operasi ditamatkan jam 2.18 petang.