Kota Kinabalu: Ahli Parlimen Sepanggar Mustapha Sakmud menggesa Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) untuk mengambil langkah drastik dalam menangani krisis air yang menghantui rakyat di kawasan parlimen itu.
Mustapha berkata projek Loji Rawatan Air Telibong 2 perlu diberi tumpuan untuk disiapkan segera, menambah Kerajaan Persekutuan sebelum ini menyatakan kesediaan membantu kerajaan negeri menyediakan peruntukan.
“Saya menggesa Jabatan Air Negeri mengambil langkah drastik dalam situasi ini. Ini bukan lagi isu bekalan air biasa tetapi krisis air. Lebih 300,000 penduduk Sepanggar bergantung kepada kecekapan JANS untuk menyelesaikan masalah ini.
“JANS perlu mempercepatkan penyiapan projek Loji Rawatan Air Telibong 2. Kerajaan Persekutuan melalui Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini menyatakan kesediaan membantu kerajaan negeri menyelesaikan masalah infrastruktur dan air di negeri ini dalam konteks peruntukan,” kata Mustapha dalam satu kenyataan selepas membuat tinjauan situasi air di kawasannya, pada Jumaat.
Dalam perkembangan lain, Mustapha berkata pihaknya sedang menunggu panggilan mesyuarat daripada Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) bagi mencari jalan terbaik untuk menyelesaikan isu setinggan di kawasan Sepanggar yang turut dikaitkan dengan aktiviti curi air sebelum ini.
Mustapha berkata satu mekanisme baharu perlu dicari bagi menyelesaikan isu setinggan di Parlimen Sepanggar, dengan mengambil kira aspek kemanusiaan tanpa mengabaikan kepentingan rakyat Sepanggar amnya.
“Saya sedang menunggu panggilan mesyuarat daripada DBKK untuk mendapatkan gambaran terperinci mengenai isu penempatan setinggan yang kebelakangan ini turut dikaitkan dengan aktiviti curi air.
Terdahulu, Mustapha selepas menunaikan solat Jumaat melakukan tinjauan di kawasan paip penghantaran air Kg Suang Parai, yang didakwa penduduk menjadi sasaran curi air oleh penduduk setinggan berhampiran. Beliau turut disertai wakil dari DBKK.