TAWAU: Tujuh suspek pengedar dadah, termasuk dua penjawat awam, diberkas polis dalam dua serbuan berasingan di daerah ini pada 20 dan 21 Mac lepas dengan 1,280.90 gram Syabu dianggarkan bernilai RM130,000 turut dirampas.
Ketua polis daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin, berkata lima suspek berusia di antara 30 hingga 59 tahun ditahan di sebuah kawasan perumahan di bandar ini sekitar jam 2 pagi pada 20 Mac lalu (Isnin).
Menurutnya, kelima-lima suspek warga tempatan itu berada di dalam sebuah kenderaan dan hasil pemeriksaan, polis menemui dua bungkusan plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah jenis Syabu seberat 103.40 gram.
Susulan tangkapan itu, dua lagi suspek penjawat awam berusia 34 dan 36 tahun ditahan sekitar jam 12.30 tengah malam pada 21 Mac (Selasa) di kawasan bandar Tawau.
Polis menemui lima bungkusan plastik lutsinar berisi bahan disyaki Syabu seberat 1,177.50 gram di dalam kenderaan mereka.