RANAU: Unit Pasukan Mencari dan Menyelamat (Mosar) Gunung Kinabalu terpaksa bergerak pantas selepas seorang pekerja binaan terjatuh dari bumbung bangunan di Gunung Kinabalu pada Ahad.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, PPgB Ridwan Mohd Taib berkata, kejadian berlaku di Tapak Pembinaan Kilometer 4, Gunung Kinabalu kira-kira jam 2 petang.
“Kami menerima panggilan melalui talian Balai pada jam 2.11 petang dan 11 anggota Mosar diketuai Komander Operasi, PBB Alex Clarence disertai seorang malim gunung dan seorang anggota Taman-Taman Sabah bergegas ke lokasi kejadian.
“Apabila pasukan penyelamat tiba di lokasi yang terletak 4km dari pos mereka, mereka mendapati seorang pekerja binaan lelaki berusia 23 tahun terjatuh 30 hingga 40 kaki dari bumbung bangunan dalam pembinaan.
“Mangsa mengalami kecederaan tulang. Rawatan awal diberikan dan mangsa dipindahkan dari lokasi dia terjatuh,” katanya.
Menurut Ridwan, Mosar memasang kolar serviks pada leher mangsa dan papan lapis di belakangnya kerana penyelamat mengesyaki tulang belakangnya retak akibat terjatuh ketika dalam keadaan duduk.
“Mangsa dibawa turun ke Pintu Timpohon menggunakan pengusung Robinson dan kemudian dihantar ke Hospital Ranau menggunakan ambulans untuk rawatan lanjut,” katanya, menambah operasi tamat pada 5.45 petang.
Kes itu menjadi kes kelima bagi Mac tahun ini dan juga mangsa ke-13 mengalami penyakit atau kecederaan di Gunung Kinabalu tahun ini.