TAWAU: Seorang pemandu maut selepas lorinya yang membawa muatan kayu balak, terbabas sendiri dalam kemalangan di KM136 Jalan Kalabakan - Maliau Basin sekitar jam 9 pagi Isnin.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, mangsa berusia 33 tahun itu dikatakan memandu dari arah Kalabakan-Serudung menuju ke Ladang Brantian untuk menghantar muatannya.
“Apabila tiba di tempat kejadian, lori yang dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan dan tergelincir ke bahu jalan sebelah kanan.
“Lori mangsa turut terbabas sejauh lebih kurang 66 meter dan mengakibatkan mangsa tercampak keluar melalui cermin hadapan yang pecah,” katanya.
Jasmin berkata, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.
Siasatan masih diteruskan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.