TAWAU: Tiga warga tempatan yang mengaku meminjamkan kad pengenalan kepada orang lain untuk kegunaan sindiket penyeludupan pendatang tanpa izin ke Sabah, dipenjara dan didenda kerana gagal membawa dokumen pengenalan diri pada setiap masa.
Abdul Habil Mobin, 58, dan Fatimah Hasan, 50, masing-masing dijatuhi hukuman penjara dua bulan dan denda RM2,500 atau dua bulan penjara, manakala Durinah Suaib, 36, dipenjara 12 minggu, selepas mereka mengaku bersalah di hadapan Majistret Leona Dominic Mojiliu dan Majistret Dzul Elmy Yunus, secara berasingan, pada Selasa.
Abdul Habil dan Fatimah melakukan kesalahan itu di Pejabat UTC Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Tawau pada 24 Mac jam 4 petang, dengan pertuduhan menyatakan mereka gagal mematuhi Peraturan 6 kerana gagal membawa kad pengenalan sepanjang masa.
Durinah telah melakukan kesalahan itu di tempat dan masa sama.
Mengikut fakta kes, kesemua mereka ditahan dalam Ops Lancar oleh sepasukan pegawai Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan dari JPN pada 24 Mac, masing-masing , antara 10 pagi dan 10.30 pagi, dalam serbuan rumah di Kg Air dan Kg Panji, Semporna.
Dalam pemeriksaan, mereka didapati gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri dan siasatan mendapati mereka adalah warganegara Malaysia dan mempunyai kad pengenalan dengan mereka mengaku meminjamkan dokumen itu kepada orang lain.
Ketiga-tiga mereka didakwa mengikut Peraturan 25 (1)(n) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun, atau denda sehingga RM20,000, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Semasa mitigasi, Durinah yang diwakili peguam Jhesseny P. Kang dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) merayu hukuman ringan manakala Abdul Habil dan Fatimah yang tidak diwakili turut memohon hukuman ringan.
Fatimah yang menangis ketika prosiding meminta tiada hukuman penjara kerana suaminya tidak bekerja.
“Saya rasa mahu mati di lokap, tidak boleh tidur… Saya tidak akan buat lagi,” katanya sambil menambah, dia mengalami hipertensi dan anemia.
Pegawai Pendakwa JPN Mohamad Faizal Tahir menggesa mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran bukan sahaja kepada trio berkenaan tetapi juga kepada masyarakat tentang kepentingan dokumen pengenalan diri kerana ia merupakan dokumen terpenting bagi setiap individu di Malaysia.
Malah, kerajaan katanya, mengeluarkan kos yang tinggi untuk sentiasa menambah baik ciri keselamatan kad pengenalan yang dikeluarkan kepada setiap rakyat negara ini.
Beliau seterusnya berhujah bahawa tindakan tertuduh telah mencemarkan kedaulatan dan keselamatan negara serta isu kad pengenalan adalah isu sensitif.
Mohamad Faizal menambah, tindakan memberikan identiti atau dokumen seseorang kepada pendatang tanpa izin adalah satu perbuatan mengkhianati diri sendiri dan negara.
Untuk rekod, ketiga-tiga tertuduh adalah pemilik sebenar kad pengenalan yang didakwa digunakan oleh pendatang tanpa izin dalam sindiket penyeludupan PTI ke Sabah yang berjaya ditumpaskan oleh JPN dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis, baru-baru ini.
Susulan itu, lima pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang bertugas di Lapangan Terbang Tawau (LTT) turut ditahan pada 23 Mac lalu kerana disyaki terbabit dalam sindiket berkenaan.
Sementara itu, seorang lagi pegawai JIM yang bertugas di LTT turut dilaporkan ditahan SPRM pada Isnin, menjadikan keseluruhan enam orang setakat ini.