Kuala Lumpur: Individu yang didapati bersalah melakukan kesalahan menghendap tidak kira lelaki atau wanita kini boleh dihukum dengan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Ia selepas Dewan Rakyat pada Rabu meluluskan Rang Undang-Undang Kanun Keseksaan (Pindaan) 2023 dengan seksyen baharu 507A dimasukkan ke dalam Kanun Keseksaan (Akta 574) bagi kesalahan menghendap.
Seksyen itu menyebut sesiapa berulang kali dengan apa-apa tindakan gangguan, berniat untuk menyebabkan, atau mengetahui atau sepatutnya mengetahui bahawa perbuatan itu berkemungkinan menyebabkan, merisaukan, menakutkan atau mencemaskan akan keselamatan orang itu, melakukan kesalahan menghendap.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Ramkarpal Singh berkata pindaan itu bagi melindungi mangsa kesalahan menghendap, tidak kira wanita mahupun lelaki.