TAWAU: Sembilan daripada 10 tahanan yang dibebaskan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan sindiket penyeludupan pendatang tanpa izin (PTI) melalui jalan udara, ditahan polis sekitar jam 1.50 petang Khamis.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin mengesahkan penahanan empat lelaki dan lima wanita terbabit di bangunan Wisma Persekutuan Tawau. Menurutnya, tangkapan tersebut dilakukan di bawah Seksyen 26A Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007 dan mereka akan ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).
Bagaimanapun, kata Jasmin, maklumat lanjut berkaitan kes itu belum diperolehi.
Terdahulu, permohonan SPRM untuk membebaskan 10 suspek berusia antara 30 hingga 55 tahun terdiri daripada enam pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan empat orang awam, disyaki ejen sindiket, dibenarkan Majistret Dzul Elmy Yunus.
Kesemua mereka meninggalkan pekarangan mahkamah Tawau sekitar jam 9.45 pagi dan dibawa ke pejabat SPRM Tawau di Wisma Persekutuan untuk tindakan lanjut.
Permohonan pembebasan dengan jaminan SPRM itu dikemukakan Pegawai Penyiasat, Wan Muhammad Iqmal Wan Ishak memandangkan siasatan pihak pihak ibu pejabat SPRM sudah selesai. Sebelum ini sembilan ditahan reman tujuh hari iaitu 24 hingga 30 Mac, manakala, seorang lagi sepatutnya tamat tempoh reman pada 3 April depan.