Long Pasia: Beginilah situasi yang terpaksa dialami pemandu ambulans dan kakitangan Klinik Kesihatan Kampung Long Pasia apabila ke pekan Sipitang atau balik ke Kampung Long Pasia untuk urusan rasmi, terutama ketika musim hujan.
Pada pertengahan Mac lalu, ambulans milik Klinik Kesihatan Kampung Meligan tersekat selama lebih satu jam di jalan raya Kampung Ulu Bole semasa menghantar pesakit dari Kg Meligan ke Hospital Sipitang kerana jalan itu dihalang oleh sebuah lori balak yang terkandas ketika menghantar kayu balak ke kilang.
“Bayangkan jika ambulans itu sedang membawa pesakit yang kritikal,” kata Terry seorang penduduk Kg Long Pasia yang berkongsi gambar ini dengan Harian Ekspres pada Selasa.
Menurut Terry, kejadian dalam gambar itu berlaku Jumaat lepas.
“Kepada pihak berwajib, tolonglah segerakan penyelenggaraan jalan raya ke Kampung Long Pasia. Kita sudah merdeka hampir 60 tahun,” katanya.