Kota Kinabalu: Aspek keselamatan awam di Sabah akan terus diperkasakan bagi memastikan rakyat dapat menjalankan aktiviti ekonomi dan sosial dalam suasana aman dan sejahtera, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Beliau berkata jaminan keselamatan awam bukan sahaja memberi impak kepada persekitaran yang jauh lebih selamat malah akan meningkatkan keyakinan pelabur asing untuk menjalankan aktiviti ekonomi di negeri ini.
“Keamanan yang kita capai juga akan membolehkan agenda pembangunan negeri iaitu Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin,” katanya pada majlis penyerahan biskut Hari Raya Aidilfitri 2023 kepada anggota pasukan keselamatan negeri dan petugas kesihatan di Menara Kinabalu, di sini, Khamis.
Sabah Chief Minister Datuk Seri Hajiji Noor hands over Hari Raya Aidilfitri cookies to members of the state's security and health services at Menara Kinabalu, Kota Kinabalu, on Apr 6, 2023.Show less
Bagi pihak Kerajaan Negeri, Hajiji melahirkan rasa terima kasih di atas jasa dan pengorbanan pasukan keselamatan dan petugas kesihatan di negeri ini.
Beliau turut mengingatkan rakyat di negeri ini supaya terus mengawal diri bagi mengelak dijangkiti Covid-19 berikutan Kementerian Kesihatan mengesan peningkatan kes Covid-19 sebanyak 37.7 peratus bagi minggu berakhir Sabtu lepas (1 April 2023) berikutan pembukaan semula sekolah di seluruh negara.
“Justeru, saya berharap agar kita semua sentiasa berhati-hati dan menjaga diri demi keselamatan diri dan keluarga,” tegasnya.
Hajiji berkata setiap tahun Kerajaan mengadakan majlis penyerahan biskut Hari Raya Aidilfitri bagi mengenang jasa dan penghargaan kepada semua anggota keselamatan yang bertugas di sempadan, darat, laut dan udara.
Beliau berharap majlis itu juga dapat meningkatkan kesedaran tentang sumbangan anggota keselamatan dan petugas kesihatan kepada negara.
Hajiji berkata pada tahun ini sebanyak 35 agensi kerajaan terdiri daripada kementerian, jabatan kerajaan negeri dan persekutuan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), badan berkanun dan badan bukan kerajaan (NGO) bergabung tenaga menyediakan kuih raya untuk diagihkan kepada anggota keselamatan dan petugas kesihatan menjelang Aidilfitri.
Beliau berharap lebih banyak agensi kerajaan termasuk GLC dan NGO tampil menghulurkan sumbangan pada masa akan datang.