Kota Kinabalu: Dua lelaki dipenjara sejumlah 22 tahun serta 10 sebatan setiap seorang atas dua pertuduhan merompak dua individu dengan menggunakan pedang.
Mohammad Izauddin Mohammad Huzir, 30, dan Mohamad Shahrizal Hussien, 23, mengaku bersalah secara berasingan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Amir Shah Amir Hassan, kepada pertuduhan terhadap mereka pada Khamis.
Bagi pertuduhan pertama, kedua-dua mereka masing-masing dijatuhi hukuman 10 tahun dan dikenakan lima sebatan kerana merompak Md Danish Akmal Md Faizal iaitu iPhone 11 dan wang tunai pada 12.05 pagi 23 Mac tahun ini di Restoran Rasta BGR Gloxinia, Kinarut, Papar.
Bagi pertuduhan kedua, mereka masing-masing dipenjara 12 tahun lagi dengan lima sebatan kerana menyamun telefon bimbit milik Mohammad Harif Palma di tempat dan masa yang sama.
Semasa kejadian, dua tertuduh masing-masing menggunakan pedang.
Mahkamah memerintahkan kedua-dua mereka menjalani hukuman penjara secara serentak mulai Khamis.
Mereka melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Semasa rayuan, kedua-dua mereka meminta hukuman ringan.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Najihah Farhana Che Awang menggesa mahkamah menjatuhkan hukuman penjara memandangkan
kes seumpama itu berleluasa dan
juga menimbulkan trauma kepada mangsa.
Mahkamah diberitahu kejadian itu berlaku ketika mangsa hendak menutup restoran apabila dua lelaki yang memakai topeng muka masuk ke dalam restoran sambil memegang pedang.
Seorang daripada lelaki itu yang kemudiannya dikenal pasti sebagai Mohammad Izauddin pergi ke kaunter dan meminta Md Danish menyerahkan wang tunai serta iPhone miliknya.
Sementara itu, seorang lagi lelaki yang kemudian dikenal pasti sebagai Mohamad Shahrizal, mengacukan pedang panjang ke arah Mohammad Harif, sebelum mengambil telefon bimbitnya.
Selepas melakukan kesalahan itu, kedua-duanya melarikan diri dari tempat kejadian dengan menaiki kenderaan.
Dua tertuduh ditahan susulan laporan polis yang dibuat oleh mangsa.
Md Danish dan Mohammad Harif telah mengenal pasti topeng muka, pedang, pakaian dan kenderaan yang digunakan kedua-dua tertuduh ketika melakukan kesalahan itu.