Kota Kinabalu: Seorang warga Filipina berusia 19 tahun diperintah membela diri atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap teman wanitanya yang di bawah umur.
Hakim Mahkamah Sesyen Dayang Ellyn Narisa Abang Ahmad membuat perintah itu kepada tertuduh selepas memutuskan bahawa pihak pendakwaan telah membuktikan kes prima facie terhadapnya pada Isnin.
Mahkamah menetapkan 1 dan 2 Jun tahun ini untuk pembelaan remaja itu.
Tertuduh yang berusia 18 tahun ketika kejadian tersebut, didakwa melakukan kesalahan itu terhadap gadis berusia 15 tahun lapan bulan itu dengan meraba kemaluannya, menciumnya, membuat ‘gigitan cinta’ dan cuba melakukan hubungan seks dengannya.
Kesalahan itu didakwa berlaku antara 10 pagi dan 9 malam 9 Apr 2022 di sebuah unit pangsapuri di Jalan Ketiau, Putatan.
Kesalahan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Pihak pendakwaan telah memanggil lima saksi semasa perbicaraan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suriyati Jumain, manakala peguam Amli Nohin mewakili tertuduh yang mempunyai sijil kelahiran itu.